BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ingin bertanya mengenai hukum membaca yassin dan Al-Quran ketika sedang haid menggunakan telefon pintar.  Untuk makluman ustaz, ibu saya telah meninggal dunia dan setiap hari saya akan bacakan yassin untuk disedekahkan kepada ibu. Saya pernah membaca pendapat yang mengatakan wanita haid boleh membaca al-quran ketika haid namun tidak dibenarkan memegang Al-quran. Oleh itu, ketika hari yang datang haid, saya akan bacakan yassin untuk ibu menggunakan telefon pintar. 

Walaubagaimanapun, baru-baru ini saya terbaca pendapat bahawa wanita yang sedang haid dibenarkan untuk membaca Al-Quran hanya bagi tujuan belajar, mengajar dan hafazan kerana khuatir akan terlupa bacaannya. Justeru, adakah perbuatan saya tersebut salah? Mohon pencerahan daripada ustaz.

Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, pendapat jumhur fuqaha’ melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun terdapat kelonggaran berzikir dan membaca bagi mengulang hafazan bagi para huffaz meneruskan pembelajarannya sehingga  tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid. Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari dan Imam al-Shafie dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Satu pendapat yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan. Selain itu, telah ijma' para ulama menyatakan harus perempuan haid membaca al-Qur'an dalam hatinya sebagaimana yang dinukilkan oleh imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu'. 

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 174

message user image