Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti
Berdasarkan situasi berikut apa pendapat tuan mufti?
Saya pekerja kilang Majoriti kilang di Msia kepunyaan pelabur asing Pelabur asing majoriti bukan islam Mereka support Israel, Zionis, Kristian, LGBT, bekalan senjata untuk menyerang umat islam dan banyak lagi.
Kawan2 saya bekerja di syarikat utiliti (elektrik, air etc) Mereka supply ke kilang2 ini, kilang arak, gereja, tokong, kuil, kasino dan banyak lagi
Adakah pendapatan kami syubhah dan kami perlu berhenti kerja?
Harap dapat maklumbalas segera darI pihak tuan mufti.
Terima kasih
Kami pun nak masuk syurga macam tuan mufti
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap muslim untuk mencari sumber rezeki yang halal, tidak kiralah mereka yang bekerja sendiri atau makan gaji.
Berhubung dengan sumber rezeki daripada hasil makan gaji, sekiranya sesuatu syarikat dengan jelas ditubuhkan atas dasar memberi bantuan atau dana kepada agenda menzalimi umat Islam, agama Islam, membantu agama bukan Islam dan menghasilkan produk yang menyanggahi syarak maka hukum hasil bekerja di syarikat berkenaan adalah syubhah (bercampur halal dan haram) dan hendaklah dielakkan daripada terlibat sebarang urusan dengan syarikat tersebut.
Walaubagaimanapun, jika dasar penubuhan sesuatu syarikat tersebut hanya untuk pengeluaran produk untuk memenuhi keperluan semasa negara akan tetapi pemiliknya menyumbang kepada perkara-perkara yang tidak patuh shariah maka hukum bekerja di syarikat berkenaan adalah harus.
Manakala pekerjaan yang ada kaitan dengan arak sama ada sedikit atau banyak maka dilarang kita terlibat, kerana terdapat hadith yang menyatakan sepuluh golongan yang mendapat laknat kerana berkaitan dengan arak. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
لعنت الخمر بعينها وعاصرها ومعتصرها وبائعها ومبتاعها وحاملها والمحمولة إليه وآكل ثمنها وشاربها وساقيها
Maksudnya : “Terlaknat arak pada ‘ainnya, orang yang memerahnya, orang yang menyuruhnya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang membawanya, orang yang dibawakannya, orang yang makan harganya, orang yang meminumnya dan orang yang memberi minum arak”. (Riwayat Ibnu Majah)
Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih sebarang pekerjaan supaya rezeki yang diterima diberkati dan diredhai Allah SWT.
والله أعلم بالصواب