Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SAYA ADA MENGUBAHSUAI RUMAH, PADA SUATU HARI TUKANG RUMAH INI ADA TERPIJAK NAJIS YANG KEMUNGKINAN NAJIS ANJING PADA TAPAK KASUTNYA DAN TERUS MASUK KERUMAH SAYA UNTUK MEMBUAT KERJA-KERJA UBAH SUAI, SOALAN SAYA APAKAH WAJIB BAGI SAYA MENYERTU SELURUH RUMAH? KAWASAN RUMAH SAYA TERLALU BANYAK ANJING DAN BERKALI-KALI ADUAN KE PIHAK BERKUASA TETAPI GAGAL DISELESAIKAN..APAKAH ADA KERINGANAN BAGI SAYA DALAM HAL INI?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Namun jika tidak dapat dipastikan sama ada yang dipijak oleh tukang rumah itu najis ataupun bukan najis. Maka para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu :
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Maksudnya : “Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.”
Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang yang jelas sama ada yang dipijak oleh tukang kasut itu adalah najis ataupun bukan najis maka tapak kasut tukang rumah itu kekal suci.
Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja. Namun jika jelas najis tersebut maka wajib dibasuh dan disucikan.
والله أعلم بالصواب