Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Tuan yang dimuliakan,
Mohon pandangan bagi situasi berikut:
Sekiranya saya mempunyai sebidang tanah dan saya berniat untuk menyewakan tanah tersebut kepada non Muslim yang bercadang untuk pengoperasian Nirvana (pengkuburan non Muslim). Kemudian keuntungan operasi ini dikongsi bersama. Adakah dibenarkan urus niaga ini dalam Islam?
Penjelasan dan pendapat tuan amat diperlukan sebagai rujukan saya dan orang awam lain.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal berjual beli dengan orang bukan Islam adalah harus. Ia termasuk dalam bab berbuat baik kepada mereka dalam perkara yang tidak dilarang syarak selagi mana mereka tidak termasuk dalam golongan yang memusuhi Islam dan umat Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahinah ayat 8:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Walau bagaimanapun, hendaklah dengan syarat dalam urusniaga tersebut tidak mempunyai unsur-unsur membantu atau mendukung kekufuran dan kemaksiatan serta menyebabkan penghinaan terhadap agama Islam dan umat Islam. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi:
وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.
Maksudnya: “Telah ijma' atau sepakat seluruh umat Islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh (haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka.” (Syarah Sahih Muslim)
Oleh itu, sekiranya anda mempunyai sebidang tanah dan berniat untuk menyewakan tanah tersebut kepada non Muslim yang bercadang untuk pengoperasian Nirvana (pengkuburan non Muslim). Kemudian keuntungan operasi ini dikongsi bersama. Hal ini tidak termasuk dalam kategori membantu kekufuran atau kemaksiatan yang ditegah syarak. Ini kerana, mengebumikan mayat tanpa mengira Islam dan bukan Islam adalah dituntut sebagai menghormati kemuliaan jasad manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
Namun anda disarankan agar dapat memastikan jika ada berlaku proses pembakaran mayat maka ianya adalah dilarang. Jika tiada (hanya semata-mata pengkebumian), maka tiada larangan. Begitu juga, menyewakan tanah untuk dijadikan tanah perkuburan adalah tidak sesuai kerana tanah perkuburan itu bersifat kekal. Dicadangkan juga agar anda merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang berkaitan seperti pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan berhubung pekeliling dan akta yang berkuatkuasa sebelum membuat sebarang keputusan.
والله أعلم بالصواب