BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Saya ingin mendapat pencerahan berkenaan hukum solat jamak dan qasar bagi orang tua yang uzur? Adakah dibolehkan untuknya melakukan jamak zuhur dan asar dgn qasar sekali.

Untuk makluman, saya mempunyai ibu mertua yang telah uzur berumur 90 tahun lebih. Pergerakannya lemah dan kadang-kadang lupa.

Semoga mendapat pencerahan diatas pertanyaan diatas. Sekian Terimakasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, syara' memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam keuzuran untuk menunaikan solat secara jamak sahaja tanpa qasar dalam satu masa untuk mengurangkan kesukaran dan kesakitan. Hukumnya adalah harus menurut kebanyakan para ulama mazhab Shafie. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' menyatakan:

وهذا الوجه قوي جداً، ويُستدل له بحديث ابن عباس قال: "جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، وَالمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ، فِي غَيرِ خَوفٍ، وَلا مَطَرٍ" 

Maksudnya : "Ini adalah pendapat yang benar-benar kuat. Ia berdasarkan dalil hadith daripada Ibn Abbas katanya: Ketika Rasulullah SAW berada di Madinah Baginda pernah menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Maghrib dengan Isyak, tidak pada saat perang dan tidak pula ketika hujan. Wakil bertanya kepada Ibnu 'Abbas, "Apa sebabnya Nabi SAW berbuat demikian?" Jawab Ibnu 'Abbas, "Supaya tidak menyulitkan umatnya." (Riwayat Muslim)

Solat tersebut boleh dilakukan secara taqdim atau ta'khir. Hendaklah berniat menghimpunkan solat jamak ta'khir dalam waktu solat pertama Zuhur bagi solat jamak Zuhur dengan Asar. Dan Maghrib bagi solat jamak Maghrib dengan Isya'. Dan berniat menghimpunkan solat semasa takbiratulihram atau dalam solat pertama Zuhur atau Maghrib selagi belum salam bagi solat jamak taqdim. 

Justeru, ibu mertua yang telah uzur boleh melakukan solat secara jamak sahaja tanpa qasar bagi solat Zuhur - Asar dan Maghrib - Isyak. 

والله أعلم بالصواب

Sekian,  terima kasih


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 139

message user image