Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan tumpang bertanya,
SITUASI: Seorang suami hilang pekerjaan dan tiada pendapatan sejak Covid 19 melanda negara ini. Walaubagaimanapun isterinya bekerja dan menerima gaji bulanan melebihi RM4000.00 sebulan.
SOALAN: Adakah suami, kerana tiada apa-apa pendapatan, layak menerima fidyah puasa berbentuk wang sekiranya ada sumbangan daripada orang lain (bukan isterinya)?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 184
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
Berdasarkan ayat tersebut, pengagihan fidyah hanya dikhususkan kepada golongan fakir dan miskin sahaja.
Bagi menjawab persoalan puan, hukum suami puan menerima fidyah dari orang lain adalah harus jika sekiranya suami puan termasuk dalam golongan fakir iaitu tidak memiliki harta dan pekerjaan, sukar baginya untuk memenuhi keperluan sehari-hari atau mungkin juga suami itu termasuk dalam golongan miskin iaitu mereka yang memiliki sedikit harta, dan memiliki pekerjaan, namun masih tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas sehari-harian.
Namun begitu, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati bahawa dalam usaha membina keluarga dan rumahtangga yang harmoni tenteram hendaklah ada sikap saling membantu dan berkongsi susah-senang antara pasangan. Walaupun isteri tidak wajib untuk memberi nafkah dan menyara keluarga, namun perlulah ada sikap toleransi dan bertimbang-rasa dalam menjalani kehidupan berumahtangga, tambahan pula sudah pasti isteri bekerja adalah dengan keizinan suaminya.
والله أعلم بالصواب