BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, tuan/puan.

Saya ingin bertanya berkenaan hukum jual beli in-game currency spt PUBG-UC, Mobile Legends-Diamonds dari sudut muamalat. Adakah sah dari sudut syara'? Jika tak keberatan juga, boleh ada penerangan terperinci berkenaan masalah ini. 

Jazakumullahu kheir atas jawapannya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Mata Wang Digital seperti UC(unknown cash) atau DIAMONS dalam permainan atas talian merujuk kepada pembelian untuk mendapatkan barang-barang maya secara langsung atau rawak. Barangan yang diperolehi adalah pelbagai termasuk pengolahan ringkas bagi watak atau peralatan-peralatan seperti pakaian, senjata, perisai dan sebagainya. UC(unknown cash) atau DIAMONS lazimnya dibayar dengan wang sebenar. Oleh itu boleh berperanan sebagai salah satu sumber perolehan wang dalam industri permainan video. 

Jika pembelian tersebut memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual beli yang dijelaskan oleh syara’, maka hukum jual beli tersebut adalah halal. Namun hukumnya menjadi haram sekiranya jual beli tersebut mengandungi unsur gharar (tidak diketahui jenis, kadar dan sifat barangan), penipuan (bergantung kepada nasib sama ada dapat barang yang dingini atau tidak dapat), melanggar rukun dan syarat jual beli yang ditetapkan oleh syara’. Ia sama seperti dalam perjudian iaitu bergantung kepada nasib, fiman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Adalah dinasihatkan supaya bermain permainan atas talian tanpa menggunakan wang sebenar bagi mengelakkan perbuatan pembaziran dan ketagihan dalam pembelian sehingga boleh mendatangkan kerugian(tiada manfaat) kepada pemain. Walau bagaimana pun permainan atas talian tanpa menggunakan wang sebenar juga perlu berjadual supaya tidak sampai melalaikan.

Sekian, terima kasih. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 144

message user image