BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya mempunyai sedikit keraguan mengenai jatuh talak atau tidak .Saya pernah bergurau dengan suami dengan bertanya soalan begini, "Kalau saya pakai seksi macam ni dekat luar apa reaksi awak?" Suami menjawab "Cerai lah". Apabila saya bertanya kepada suami mengenai maksudnya, suami berkata dia tidak berniat sedemikian sebaliknya mungkin merasa tidak gemar dengan gurauan saya. Saya bukanlah seorang wanita yang berpakaian menjolok mata. Namun, saya khuatir sekiranya berlaku apa-apa perkara bahaya di dalam rumah hingga menyebabkan saya keluar rumah tanpa sempat menutup aurat sempurna seperti rumah terbakar dan sebagainya. Adakah jatuh talak apabila berlaku situasi sedemikian? Seterusnya, adakah jatuh talak sekiranya saya tidak menutup aurat sempurna ketika keluar di hadapan rumah untuk melakukan kerja tertentu seperti menjemur pakaian dan lain-lain dalam keadaan tidak berstoking, memakai sweater yang mempunyai hoodie bagi tujuan menutup kepala dan kadang-kadang terdedah sedikit bahagian tengkuk tanpa dilihat orang kerana rumah saya terletak dibahagian hujung. Bagaimana pula sekiranya saya sengaja berpakaian menjolok mata ketika di luar rumah? (Sekadar ingin tahu walaupun saya bukanlah wanita yang berpakaian sedemikian) 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Jika suami melafazkan perkataan " cerai " sahaja maka ianya bukan lafaz talak dan juga bukan ta'liq, kerana ia tidak sempurna ayat dan tidak cukup sempurna syarat talak tersebut. Perkataan " cerai " sahaja boleh membawa pelbagai maksud selain daripada maksud talak. Lebih-lebih lagi dalam konteks persoalan puan, suami puan tidak berniat pun untuk menceraikan puan. 

Walaubagaimanapun, dalam perkara ini  terdapat satu perkara penting yang perlu difahami iaitu larangan bermain-main dengan talak. Perkara ini adalah perkara yang tidak boleh dijadikan bahan ketawa dan gurauan. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).

Namun begitu, sekiranya timbul perselisihan dalam masalah ini, kami cadangkan perkara ini dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan tentang status lafaz talak tersebut kerana pengesahan lafaz talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 159

message user image