BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam tuan .. saya merupakan seorang guru sekolah rendah ... saya ada menyimpan buku-buku latihan anak murid saya ... oleh kerana terlalu lama saya simpan sehingga saya pun telah berpindah sekolah dan anak-anak murid saya pun sudah ke sekolah menengah dan ada yang terputus hubungan ... saya mahu memulangkan semua buku tersebut tetapi terlalu banyak dan tidak pasti alamat terkini bekas murid-murid saya itu ... adakah saya boleh menjual semua buku itu di tempat kitar semula dan hasil wang penjualan itu saya  sedekah ke mana-mana tempat berkenaan dan saya niatkan pahala untuk mereka ? Atau saya terpaksa juga cari seorang demi seorang bekas anak murid untuk diserahkan buku-buku itu ? Saya risau kerana atas sebab amanah dan hukum halal dan haram ... terima kasih ..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, buku-buku latihan tersebut selagi mana ianya berada dalam jagaan tuan maka ia adalah amanah dan perlu dikembalikan semula kepada empunya hak tersebut. Melainkan empunya hak memberikan kebenaran kepada tuan untuk menguruskan buku-buku tersebut mengikut kepada apa yang tuan mahu lakukan. Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Anfal ayat 27:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Sehubungan itu, sekiranya buku latihan tersebut dilihat tidak lagi boleh digunakan dan adatnya jika dipulangkan semula ianya akan dilupuskan, maka pihak puan hendaklah terlebih dahulu memaklumkan kepada murid-murid untuk mengambil buku tersebut atau bersetuju agar buku tersebut dikitar semula dan hasilnya disedekahkan untuk dimanfaatkan oleh pihak sekolah. War-warkan kepada mereka dengan sedaya upaya yang mampu melalui media sosial dan letakkan tempoh yang tertentu seperti dalam tempoh 3 bulan atau sebagainya supaya dengan cara itu maklumat tersebut sampai kepada mereka. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 173

message user image