Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan.
Saya ingin bertanya, saya telah membuat pengeluaran kwsp (sepenuhnya) pada awal tahun 2020 atas sebab "hilang upaya kekal". Sebahagian duit tersebut telah digunakan untuk menyara perbelanjaan perubatan saya, perbelanjaan keluarga dan menyelesaikan hutang-hutang. Selebihnya, saya simpan di akaun simpanan untuk kegunaan perubatan dan perbelanjaan keluarga setiap bulan/pada masa hadapan memandangkan saya telah tidak mampu bekerja (ILAT) lagi.
Saya difahamkan untuk pengeluaran KWSP itu atas sebab perubatan/hilang upaya kekal tidak diwajibkan zakat. Persoalannya ;
1. Adakah betul ?
2. Baki duit KWSP yang disimpan di akaun simpanan untuk tujuan perubatan dan sara hidup, adakah perlu/wajib dikeluarkan zakat sekiranya ianya telah
mencukupi haul dan nisabnya?
Mohon bantuan dan pencerahan dari pihak tuan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 5/2006 yang telah bersidang pada 2 Oktober 2006 berkaitan Bayaran Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sejurus Pengeluaran-Satu Alternatif telah memutuskan bahawa :
Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.
Walau bagaimanapun, pengeluaran zakat untuk tujuan hajah asliyyah atas sebab terjejasnya sumber pendapatan yang mampu menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungan, maka zakat tidak diwajibkan sekiranya pengeluaran dilakukan dalam keadaan sebegini.
2. Walau bagaimanapun baki duit KWSP yang disimpan di akaun simpanan wajib dikeluarkan zakat apabila telah mencukupi haul dan nisabnya. Namun, jika agensi tempat wang tersebut disimpan telah mengeluarkan zakat sebagai wakil bagi pihak pencarumnya seperti Lembaga Tabung Haji, maka tidak perlu lagi bagi pencarum untuk mengeluarkan zakat wang simpanan.
والله أعلم بالصواب