BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Disini saya ada beberapa soalan mengenai najis yang paling berat. Situasinya, saya mendengar anjing menyalak kuat seperti memarahi kucing yang berteduh diberanda rumah saya yang tidak berpagar. Ketika itu hujan sedang lebat, dan kedengaran beberapa barang telah dilanggar, tidak pasti anjing atau kucing. Apabila buka pintu, tiada seekor pun haiwan yang ada. Yang ada cuma beberapa tompok air hujan yang saya anggap mungkin itu bekas tapak kaki anjing yang menyalak memarahi kucing tadi. Keesokkannya saya telah sertu beranda dan barang yang saya anggap telah dilalui dan dilanggar anjing. Soalan pertama, sebenarnya adakah saya perlu sertu dengan situasi seperti ini? Saya adalah seorang yang kuat was was.

Situasi seterusnya, setelah sertu dengan yakin lantai dan barang yang saya anggap dilalui dan dilanggar anjing sehingga suci, saya sertu pula tangan dan kaki saya disebabkan situasi pertama, ketika sertu airnya terpercik ke tangan dan kaki. Selesai sertu tangan dan kaki dilantai yang sama, saya jirus lagi lantai yang bertanah pasir hasil dari sertu tangan dan kaki sehingga bersih. Walaubagaimana pun, setelah masuk rumah, saya terlupa jika lantai tersebut saya jirus semula dengan air mutlak sebanyak 6 kali atau tidak. Adakah lantai ini dikira najis semula akibat dari saya sertu tangan dan kaki saya? Dan adakah jika terlupa mengira perlu sertu semula? Bagaimana dengan hos getah yang saya gunakan ketika sertu, saya telah sertu dan bersihkan hos getah tersebut, tetapi masih was was kerana hos getah tersebut berada dilantai basah yang saya terlupa kira jirusan air mutlaknya? Perlukah saya sertu semula hos getahnya? 

Disebabkan saya terlalu stress dan was was, saya minta suami sertu beranda dan barang lagi sekali keesokkannya. Suami sertu menggunakan air tadahan baldi. Manakala hos getah tersebut suami tidak sertu semula, tetapi suami gantungkan diberanda. Tempat gantung hos tersebut merupakan kawasan terbuka yang terkena air hujan. Perkara ini sudah 7 bulan berlalu dan saya masih was was. Walaupun ketika suami selesai sertu, suami yakin dan saya juga yakin bersih, secara tiba-tiba hari ini saya terfikir tentang hos getah itu sama ada perlu disertu atau tidak?

Soalan lain, adakah air hujan yang turun lebat tanpa perlu ditadah boleh digunakan untuk kaedah sertu? Contoh situasi, 1 barang yang perlu disertu telah dijirus dengan air tanah 1 kali. Selepas itu dibiarkan dibawah tempat turunnya hujan lebat. Bolehkan barang itu jadi suci? 

Maaf soalan panjang. Harap dapat menjawab soalan saya ini dengan teliti.

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Oleh itu, bagi persoalan pertama yang puan timbulkan dalam situasi tersebut puan tidak perlu sertu dan sekadar perlu dibersihkan dan disucikan sahaja kawasan tersebut. Ini kerana jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak terdapatnya najis.

Air hujan yang turun ke bumi adalah suci lagi menyucikan kerana ianya termasuk dalam kumpulan air mutlak. Oleh itu, air hujan yang turun dapat menyucikan najis.

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Antara kaedah yang dianjurkan oleh para ulama' bagi menghilangkan perasaan was-was adalah seperti berikut :

1. Mengambil Sikap Tidak Peduli: iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was.

 لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ - فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا

Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang diwas-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan.

2. Bersabar Dan Terus Mencuba: Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ianya adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:

 دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya.

3. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih: Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengatahui akan kesahihannya.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:

أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ

Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.

4. Memohon Perlindungan Allah SWT: Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha untuk mengekangnya. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketika mana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

 ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا

Maksudnya: Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim)

 Semoga puan dimudahkan oleh Allah SWT dan dihindarkan daripada penyakit was-was. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 401

message user image