BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Berlaku sedikit salah faham antara saya dan suami dan suami mengeluarkan penyataan berbunyi "If you want to divorce the we go to the court".... Persoalannya disini sudah jatuhkan talak ke atas isteri....? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tidak jatuh talaq kerana lafaz tersebut baru berbentuk cadangan, iaitu " Sekiranya kamu (isteri) nak cerai kita pergi ke mahkamah ". Kenyataan tersebut juga bertepatan dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor Tahun 2003, yang menyatakan :

Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan berkanun yang mengandungi—
 

  • (a) butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil dari perkahwinan itu;

    (b) butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 45;

    (c) butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;

    (d) suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

    (e) suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

    (f) syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan

    (g) butir-butir mengenai perintah yang diminta.


dan Seksyen 125. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah yang menyatakan bahawa jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk diluar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.  

Namun begitu, sekiranya timbul perselisihan dalam masalah ini, kami cadangkan perkara ini dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan tentang status lafaz talak tersebut kerana pengesahan lafaz talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 162

message user image