BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. 

Saya cuba mencari jawapan melalui Internet tetapi tidak menemui jawapan yang tepat.. Muka adalah kawasan yg mulia Dan tidak dibenarkan untuk melakukan kekasaran. Apakah hukum menjentik dahi sebagai gurauan? Ada seorang sahabat saya mengatakan Di dahi setiap manusia terdapat kalimah Allah dan berdosa sekiranya kita melakukan sesuatu Di kawasan tersebut.. Adakah boleh dipercayai? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan , hukum menjentik dahi sebagai gurauan adalah dilarang. Hal ini kerana Islam sendiri menghormati kedudukan insan yang mana Allah telah tegaskan kemuliaannya dalam Al-Quran pada surah al-Isra’ ayat 70;

ولَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي ادَمَ وَحَمَلْنهُم فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَهُمْ عَلى كَثِيرٍ مِّمَّن خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.”

Atas penghormatan kepada keturunan Adam, maka Nabi SAW melarang kita memukul, menampar atau mencederakan wajah ataupun kawasan muka sesama insan, sekalipun di medan peperangan. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;

إِذا قاتل أحدكم فليجتنب الوجه

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tentang kalimah Allah yang berada di dahi setiap manusia dan dikatakan berdosa sekiranya melakukan sesuatu di kawasan tersebut tidaklah ada sebarang nas yang mengatakan sedemikian, namun iktibar yang perlu diambil ialah kita dilarang untuk melakukan kekasaran di bahagian wajah walaupun sebagai gurauan kerana ianya adalah kemuliaan manusia.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 179

message user image