Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Adakah saya berdosa atau tidak adil dan apakah hukumnya jika saya menghadiahkan rumah kepada anak perempuan saya semasa saya masih hidup (hadiah/hibah).
Saya hadiahkan rumah kepada anak perempuan kerana menjaga kebajikannya, berbanding anak lelaki yang lebih stabil dari sudut kewangan dan kerjaya.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد.
Merujuk kepada persoalan, dalam kes pemberian hibah secara umumnya, ulama’ bersepakat bahawa digalakkan dan disunatkan kepada ibu bapa untuk memberikan hadiah kepada anak lelaki dan anak perempuan secara sama rata. Dalil mereka berdasarkan teguran nabi terhadap seorang ayah kerana pemberian yang tidak adil seperti yang diriwayatkan al-Nu’man Bin Bashir,
فاتَّقُوا اللَّهَ واعْدِلُوا بيْنَ أوْلادِكُمْ، قالَ: فَرَجَعَ فَرَدَّ عَطِيَّتَهُ
Maksudnya: "Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu. Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan".Riwayat al-Bukhari
Hadis di atas menerangkan beberapa perkara, antaranya:
Pertama: Suruhan dan arahan nabi agar berlaku adil membawa hukum wajib. Kaedah di dalam usul fiqh menyebut,
الأمر يفيد الوجوب
Maksudnya: Setiap arahan membawa kepada wajib.
Kedua, Nabi menyifatkan bahawa perbuatan melebihkan seseorang anak berbanding anak-anak yang lain merupakan suatu kezaliman. Bahkan melalui hadis yang lain nabi juga tidak mahu memberi penyaksian terhadap tindakan tersebut ditambah lagi dengan suruhan agar meminta kembali hadiah yang telah diberikan.
Dinasihatkan:
Pertama: Sebagai ibu bapa, kita digalakkan untuk memberikan hadiah kepada anak-anak baik lelaki mahupun perempuan sebagai tanda kasih dan cinta kepada mereka. Nabi juga menyarankan untuk umatnya saling memberi hadiah kerana boleh mencambahkan kasih sayang.
Kedua: Hadiah yang datang daripada ibu bapa sebaiknya diberikan secara sama rata kepada anak-anak kerana pemberian yang berbeza akan menimbulkan syak wasangka, iri hati malah boleh membawa kepada perbalahan jika perbezaan hadiah yang diterima sangat berbeza harganya.
Ketiga: Nafkah dan hadiah merupakan dua perkara yang berbeza. Kesannya:
Keempat: Hukum boleh berubah menjadi haram jika ibu bapa mempunyai niat jahat untuk memberi kemudaratan dan menyusahkan dengan cara memberikan hadiah kepada seorang anak sehingga tiada baki harta langsung untuk anak yang lain.
Kelima: Namun, jika adik-beradik sendiri yang memberi keizinan dan menggugurkan hak mereka untuk tidak diberikan kesamarataan dalam menerima hadiah kerana merasakan ada adik-beradik yang lebih memerlukan berbanding dirinya, maka tidak menjadi masalah untuk ayah atau ibu melebihkan seseorang anak berbanding yang lain.
Kesimpulannya, hukum melebihkan pemberian hadiah kepada anak perempuan berbanding anak lelaki hanya kerana anak lelaki sudah stabil dari sudut kewangan dan kerjaya adalah makruh, sebaiknya dielakkan apatah lagi jika sebahagian anak lain tidak mendapat langsung bahagian hadiah kerana kemungkinan hajat dan keperluannya sama seperti anak-anak perempuan yang lain.
والله اعلم بالصواب