Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM BERBAHAGIA USTAZ
DI MASA PERINTAH KAWALAN PEGERAKAN (PKP) ORANG YANG TIDAK DAPAT HADIR KE MASJID UNTUK SOLAT JUMAAT ATAS SEBAB KEHADIRAN TERHAD. ADAKAH SOLAT ZOHOR DI RUMAH BOLEH DIKERJAKAN SELEPAS SAHAJA MASUK WAKTU ZOHOR ATAU MESTI TUNGGU SELEPAS JEMAAH SELESAI SOLAT JUMAAT. SAYA AGAK KELIRU KERANA DUA NEGERI DI NEGARA KITA SETAKAT YANG SAYA TAHU MEMBERIKAN PENDAPAT/HUKUM BERBEZA.
WASSALAM.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, bagi mereka yang tidak dapat hadir ke masjid untuk solat Jumaat atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana jumlah jemaah dihadkan adalah tidak wajib untuk melaksanakan solat Jumaat, maka boleh menunaikan solat Zohor tanpa menunggu solat Jumaat selesai. Walaubagaimanapun melewatkan solat Zohor sehingga mereka yang solat Jumaat selesai adalah lebih afdhal. Ini kerana, terdapat kemungkinan hilangnya keuzuran seperti kalau tidak cukup 40 orang yang ditetapkan, ia mungkin dipanggil untuk dicukupkan.
Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya) maka tidak ada solat baginya melainkan kerana uzur. Mereka (para sahabat) bertanya: Apakah keuzuran itu? Baginda menjawab: ketakutan dan sakit.”
(Riwayat Abu Daud)
Selain itu, pandangan Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab adalah "Adalah lebih baik menunda solat Zohor terlebih dahulu sehingga putus asa untuk solat Jumaat kerana kemungkinan tidak boleh melaksanakannya atau imam sudah bangun dari rukuk pada rakaat kedua solat Jumaat. Inilah pendapat yang kuat dan masyhur".
والله أعلم بالصواب