BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. Sejak akhir2 ini, suami saya banyak mengikuti pengajian bersama Ustaz Wan Hizam bin Abdullah Sabil. Di dalam ceramah beliau, ada disebutkan tentang Nur Muhammad sebagai makhluk pertama yang diciptakan Allah, dan konsep segala ciptaan lain adalah kerana sayangnya Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

Soalan saya:

1. Adakah pernyataan tersebut benar?

2. Sekiranya tidak benar, adakah ia sesat dan wajar dijauhi?

3. Adakah pernyataan tersebut ada kaitan dengan konsep Nur Panjtan yang dipercayai golongan Syiah?

Mohon penjelasan kerana saya risaukan akidah saya dan suami.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat yang menyatakan bahawa makhluk ciptaan Allah SWT yang paling awal adalah Nur Muhammad, seperti yang dikhabarkan di dalam Musannaf Abdul Razzaq al-San’ani dan diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA.

Daripada Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan, beliau berkata,

يا رسول الله، بأبي أنت وأمي، أخبرني عن أول شيء خلقه الله قبل الأشياء . قال : يا جابر إن الله تعالى خلق قبل الأشياء نور نبيك من نوره

Maksudnya :

Wahai Rasulullah! Demi ayahku, dikau dan ibuku, khabarkan kepadaku tentang perkara paling awal yang diciptakan oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda; Wahai Jabir , sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan cahaya nabimu dari cahayaNya sebelum diciptakan sesuatu.

(Riwayat Abdul Razzaq al-San’ani)

Hadis ini turut dimasukkan di dalam buku karangan karangan Sheikh Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas al-Hasani al-Maliki (1367H - 1425H), di dalam bab al-Nur al-Muhammadi .Buku berjudul al-Dzaka’ir al-Muhammadiyyah . Dr. Jamal Farouk al-Daqqaq , pensyarah Fakulti Dakwah Islamiah Al-Azhar, Mesir dalam membahaskan hadis tersebut menyatakan bahawa “sebahagian umat Islam yang menyatakan hadis ini maudu’ sebelum mereka mengetahui sanadnya. Seharusnya kita bersangka baik dengan para ulama’ terdahulu kerana mereka memasukkan hadis ini dalam kitab mereka seperti al-Qastalani memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawahib, Imam Ibnu Hajar di dalam Syarah al-Hamziyyah dan al-‘Ajluni di dalam kitab al-Khafa”

Biarpun sebilangan ulama’ hadis menghukumkan hadis ini sebagai mungkar dan ada yang mengatakan ianya palsu, mempercayai Nur Muhammad merupakan ciptaan Allah SWT yang terawal merupakan salah satu pandangan dari kalangan ulama’ dan ia tidak menyebabkan seseorang menjadi sesat. Namun umat Islam diminta berhati-hati dengan tafsiran sesat oleh sebahagian pihak yang mendakwa bahawa Nur Muhammad itu sebahagian daripada zat Allah SWT. Fahaman ini jelas membawa kepada syirik.

Manusia dan jin diciptakan oleh Allah SWT supaya menyembah dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran;

Maksudnya : Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah al-Dzariyaat: Ayat 56)

Sebahagian umat Islam merujuk kepada kata-kata yang masyhur iaitu;

لو لاك ما خلقت الأفلاك

Mafhumnya : Jika tidak kerana kamu wahai Muhammad, nescaya aku tidak ciptakan alam ini.

Menurut Dr. Ali Jumu’ah, mantan Mufti Mesir, ketika di temuramah oleh stesen television CBC di dalam program Wallahu A'lam menyatakan “kalam ini bukanlah hadis dan tidak diketahui siapa yang menuturkannya. Justeru ia tidak boleh disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, dari segi maksud, perkataan ini tidak bercanggah dengan Islam, usul akidah dan asas tauhid”.

Konsep yang dijelaskan di atas tiada kaitan dengan ajaran syiah, kerana terdapat beberapa penambahan dalam riwayat mereka dalam mengagungkan Ali RA dan Fatimah RA. Dalam kita mengagungkan Nabi Muhammad SAW, seeloknya kita berpegang kepada banyak riwayat sahih yang boleh diambil dan difahami bersama. Jauh lebih penting adalah, setiap umat Islam hendaklah sentiasa berusaha memastikan aspek akidah, syariah dan akhlak kita berdasarkan pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 590

message user image