BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan

Saya ada terbaca suatu posting di media sosial yang menyatakan, "tidak boleh jual barangan yang bukan milik kita, kecuali sebagai ejen atau wakil atau broker (simsar).."

Boleh saya mohon pandangan tuan berkenaan dengan satu kaedah dropship di shopee? 

Penjual meletakkan listing produk di kedainya di shopee, tapi produk sebenarnya tiada, dan dinyatakan pre-order. 

Bila ada customer order produk, baru penjual akan beli daripada seller lain. Apabila barang dah sampai pada penjual, baru akan dipos semula pada customer. 

Penjual hanya terima bayaran selepas customer confirm order dengan shopee.

Bolehkah kaedah jual beli seperti ini? Mohon pandangan tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berkenaan perkara tersebut sememangnya benar iaitu larangan berjual beli bagi barang yang tiada dalam pegangan. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a, bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Ada seorang lelaki datang meminta saya menjualkan kepadanya barang yang saya tiada (saya bertindak menjual kepadanya). Bolehkah saya beli barang tersebut di pasar untuk diserahkan kepadanya. Baginda bersabda: Jangan engkau jual barangan yang tiada padamu.” (HR Abu Daud)

Namun begitu, Islam juga mengharuskan jual beli salam atau salaf iaitu secara tempah. Salam di mana bayaran akan dibuat dahulu dan barang diserahkan kemudian. Tetapi ada syaratnya, iaitu jelas spesifikasi barang tersebut dan diketahui waktunya itu bermaksud waktu penyerahannya. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang berjual beli salaf (salam) hendaklah dia berjual beli dengan sukatan yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan tempoh yang dimaklumi.” (HR al-Bukhari)

Secara ringkasan syarat perniagaan Dropship, iaitu:

  1. Perniagaan yang halal dan patuh Shariah serta tidak memberi mudarat.
  2. Spesifikasi yang jelas
  3. Harga barangan dan kos penghantaran yang jelas.
  4. Waktu penghantaran dan tempat pengambilan barang yang jelas.
  5. Jelas kontrak upah antara pembekal dan peniaga dropship
  6. Adanya pemulangan barang atau duit sekiranya barang rosak atau tidak sama dengan spesifikasi barang.

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 182

message user image