Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Apakah pansangan dan hukum lucid dream dalam Islam?
Lucid dream adalah mimpi yang mampu dikawal dan sedar bahawa ianya mimpi
Apakah hukum melatih diri untuk mendapat dan mengawal lucid dream?
Terima kasih
Jawapan
السلام ورحمة الله وبركاته وعليكم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara :
1) Pandangan Islam tentang mimpi adalah berdasarkan kepada mafhum hadith, bahawa mimpi itu terbahagi kepada tiga (3) jenis sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam, mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur, dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Riwayat Ibnu Majah)
Selain itu, hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ
Maksudnya: “Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).” (Riwayat Muslim)
2) Justeru melatih diri untuk mendapat dan mengawal lucid dream jika perbuatan yang dilakukan itu tidak memberi manfaat pada diri dan bukannya tuntutan agama, maka ia adalah sia-sia. Bahkan, jika dalam keadaan sedar, maka itu bukanlah hakikat mimpi yang sebenar. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya. (Riwayat al-Tirmizi)
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih