Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum jika saya terbeli essential oil diffuser berbentuk haiwan ( burung hantu). Diffuser yang dinyatakan adalah Young Living essential oil Owl diffuser. Adakah hukumnya haram?
Diffuser ni semakin meluas digunakan oleh semua rakyat malaysia terutama yg beragama islam. Adalah sangat penting untuk saya mendapatkan maklumbalas dari pihak tuan.
Terima kasih.
Rozana
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Puan,
Terdapat larangan menyimpan gambar atau patung dirumah kerana malaikat (Rahmat) tidak akan masuk.
Sabda Nabi SAW :
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi ada menyebutkan berkenaan sebab larangan menyimpan gambar patung berupa makhluk bernyawa seperti berikut:
قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Para ulama mengatakan bahawa, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan.”
Oleh itu, dapat difahami bahawa larangan kepada patung atau gambar-gambar lukisan makhluk bernyawa adalah kerana ia menyerupai ciptaan Allah dan dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan atau disucikan atau terlalu dihormati sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikkan dan penyembahan.
Maka menggunakan essential oil diffuser berbentuk haiwan (burung hantu) adalah dibolehkan selagi mana tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau (bukan) bertujuan untuk disembah.
Walaupun begitu, disarankan agar dapat dielakkan penggunaan patung seperti owl diffuser tersebut dan lain-lain sebagai alat diffuser agar tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti dengan bentuk selain daripada makhluk yang bernyawa atau ditinggalkan bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah adalah lebih baik.
والله أعلم بالصواب