Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamuakailum.
Saya ingin bertanya tentang pernyataan “trade in emas dan tambah duit trade in beli emas baru, hukumnya haram ada syubhah (riba). Kalau nak beli emas baru, kena jual dulu emas lama, dan pegang dulu duit emas yang dijual tadi dan baru boleh beli emas baru. Hukumnya haram trade in emas ambil emas baru tambah duit sebab ada riba dekat situ.”
Betulkah kenyataan ini? Sekiranya betul, minta pencerahan tentang unsur riba tersebut. Apa yang perlu di buat sekiranya ada urusan jual beli emas yang menggunakan cara “trade in” begini sebelum ini.
Terimakasih.
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, betul kenyataan tersebut. Emas termasuk daripada barang jenis ribawi selain perak, gandum, barli, tamar dan garam. Justeru, jual beli emas hendaklah berlaku dalam satu majlis dengan penyerahan barang dan harga secara bersama. Penyerahan harga yang dimaksudkan adalah keseluruhan harga yang dipersetujui dan bukan secara berhutang, bertangguh atau sebahagian sekiranya emas tersebut bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ubadah Ibnu Samit katanya, Rasulullah SAW bersabda :
الذهب بالذهب والفضة بالفضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل سواء بسواء يدا بيد فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد
Maksudnya : “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, di dalam pertukaran dan jual beli sama jenis hendaklah sama jumlah tukaran, diserah-terima pada masa yang sama, apabila jenis barangan ini berbeza, maka berjual belilah sebagaimana dikehendaki tetapi hendaklah secara serah terima (secara lani)”. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 menetapkan bahawa hukum dan syarat-syarat yang khusus jual beli emas yang bercirikan item ribawi adalah kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Sekiranya ada urusan jual beli emas yang menggunakan cara “trade in” sebegini sebelum ini ianya dimaafkan atas alasan tiada ilmu tentangnya.
والله أعلم بالصواب