Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Adakah salah saya memperingatkan kawan saya untuk ingat Allah sentiasa ? sebabnya kawan saya cakap saya tunggang agama dan marah bila saya ingatkan kawan saya tentang Allah dan sejak itu saya terfikir apa salah saya sebenarnya ataupun itu adalah diri kawan saya sendiri yang sebenar ? sebelum itu , untuk pengetahuan tuan/puan saya baru sahaja berubah dan taubat daripadab banyak perkara keduniaan haram dan dosa ii besar yang saya lakukan sebelum ini . mungkinkah sebab dia berfikiran yang saya masih manusia yang lama dan tidak berubah ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, sentiasa memperingatkan kawan atau orang lain supaya sentiasa mengingati Allah adalah suatu amal soleh dan terpuji. Ia juga merupakan satu dakwah di jalan Allah. Allah suka kepada hambaNya yang sering menyeru kepada kebenaran dan mengajak kepada kebaikan.
Daripada Abi Hurairah Radhiallahu’anhu sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ اْلأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا. وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اْلإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.
Maksudnya :"Barangsiapa yang mengajak kepada suatu petunjuk, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala-pahala mereka. Dan barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan maka dia memperoleh dosa semisal dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun dari dosa-dosa mereka."(Shahih Muslim)
Pada masa yang sama, tuan boleh melakukan teguran secara berhikmah melalui perbuatan dan contoh-contoh tauladan yang baik agar dapat dilihat serta dicontohi olehnya. Mudah-mudahan dengan cara tersebut dapat menjadi dakwah bi hal yang dapat diikuti olehnya. Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar kawan yang marah dan tidak menerima apabila diberi peringatan, diberi hidayah dan lembut hati apabila dinasihati dengan perkara-perkara kebaikan. Tuan jangan lah berputus asa untuk terus berbuat kebaikan kepadanya dan teruskan beristiqomah dalam mengubah diri ke arah kehidupan yang lebih baik dan diredhai Allah SWT.
والله أعلم بالصواب