Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
HUKUM MEMBUKA KEDAI MAKAN DI KAWASAN KEJIRANAN
Assalammualaikum tuan,puan...Saya ingin bertanya apakah hukum membuka kedai makan di rumah yang mempunyai kejiranan bersebelahan rumah,tidakkah ia akan mengganggu ketenteraman dan privasi jiran memandangkan laman rumah bersebelahan antara satu sama lain dan hanya mempunyai pagar berjaring paras bahu,tidakkah mata2 pelanggan akan memerhati kawasan sekitar...sekian,terima kasih,harap pihak tuan puan dapat membantu...
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, perniagaan dalam Islam dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Secara prinsipnya seseorang boleh berniaga di mana-mana sahaja termasuk di rumahnya. Namun dari aspek sosial, seperti jika tinggal dalam kawasan perumahan, maka membuka kedai makan di rumah yang mempunyai kejiranan adalah tidak dibenarkan kerana ia melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Dengan membuka kedai makan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga seperti tiada ruang privasi, mengganggu ruang tempat letak kereta kejiranan, boleh menimbulkan pencemaran seperti bising, bau busuk dan sebagainya. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya. (Riwayat Muslim)
Adalah dinasihatkan supaya mencari tempat atau premis perniagaan yang sesuai dengan persekitaran dan suasana tempat serta mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agar hasil perniagaan tersebut mendapat keredhaan dan diberkati oleh Allah SWT. Jika terdapat peniaga yang ingkar dengan peraturan dengan membuka kedai makan tersebut, maka boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan agar isu ini dapat ditangani dengan hemah dan berkesan.
Sekian, terima kasih.
والله أعلم بالصواب