Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apa hukum jika kita masih menggunakan nama arwah di bil bil air, bil elektrik dan nama rumah.Saya masih menggunakan nama arwah ayah saya.Saya ada dengar pendapat segala doa yang kita sampaikan tidak akan diterima oleh si mati..kuburnya juga akan gelap selagi kita masih menggunakan nama arwah di bil bil tersebut..minta pencerahan..terima kasih
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛
Merujuk kepada persoalan Puan, perbuatan menggunakan nama orang yang telah meninggal dunia pada bil air dan sebagainya tidak sesekali memudharatkan penama tersebut. Ini kerana setelah kematian seseorang, sudah tiada lagi tanggunggjawab (taklif) ke atasnya dan si mati tidak akan mendapat akibat buruk hanya dengan sebab namanya masih digunakan oleh orang yang masih hidup. Doa yang dititipkan kepada si mati tidak akan terhalang dan kuburnya tidak akan gelap hanya dengan sebab tersebut. Setiap manusia hanya akan dibalas oleh Allah SWT atas apa yang dilakukannya sahaja dan bukan atas apa yang dilakukan oleh orang lain.
Allah SWT berfirman di dalam surah An-Najm ayat ke 39;
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) terhadap apa yang diusahakannya"
Dari sudut penggunaan nama rumah, ia tidak menimbulkan sebarang masaalah. Namun, menukar nama kepada penama yang masih hidup dalam setiap urusan termasuk nama rumah dan bil-bil adalah lebih baik dan patut dilakukan.
والله أعلم بالصواب