BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, mohon dapat beri penjelasan tentang pelat huruf R.Adakah solat secara berjemaah sah sekiranya kita merupakan imam semasa solat.Mohon penjelasan terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛

Merujuk kepada soalan tuan, kesalahan dalam membaca ayat al-quran terbahagi kepada dua iaitu kesalahan kecil (lahn khafi) dan kesalahan besar (lahn jali).

Kesalahan kecil adalah kesalahan yang tidak mengubah maksud ayat yang dibaca seperti kekurangan pada makhraj huruf, harakat dan kadar dengung. Kesalahan kecil ini dimaafkan dan sah solat bagi imam atau makmum yang membaca dengan kesalahan kecil. Menyebut huruf R dalam keadaan pelat termasuk dalam kesalahan kecil sekiranya tidak merubah maksud.

Adapun kesalahan besar adalah yang mengubah maksud ayat seperti mengubah baris dan huruf yang dibaca. Kesalahan ini tidak dimaafkan di dalam solat dan akan membatalkan solat jika kesalahan berlaku ketika membaca surah al-fatihah kerana ia merupakan rukun solat. Seseorang muslim dituntut untuk sentiasa mempelajari dan mempraktik kaedah bacaan al-Quran yang tepat.

Sebagai rujukan, untuk melantik imam solat, sebaiknya memilih seseorang yang paling fasih bacaan, tinggi kefahaman agama (faqih) dan yang paling tua. Abu Sa'id al-Qudri RA meriwayatkan sepotong hadis, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda;

إذا كانوا ثلاثةً فليؤمَّهم أحدُهم وأحقُّهم بالإمامةِ أقرؤُهم

Maksudnya : "Jika mereka bertiga, maka jadilah imam salah seorang dari kalangan mereka, dan yang paling berhak adalah yang paling mahir membaca al-Quran".

(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam kitab Muqaddimah Tafsir Ibn Kathir, Ibnu Mas'ud RA menyatakan bahawa "kami tidak melepasi sepuluh ayat (ketika belajar al-quran)  melainkan kami telah mahir maksud ayat tersebut dari segi suruhan, larangan dan hukum berkaitannya".  

Para sahabat  belajar maksud ayat bersekali dengan belajar membaca. Justeru itu,  orang yang paling mahir membaca al-Quran adalah yang paling tinggi kefahaman agamanya. Ciri ini yang perlu diutamakan untuk menjadi imam solat iaitu mahir membaca al-Quran dan tinggi ilmu agama sebagaimana dinyatakan di dalam hadis di atas.

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 425

message user image