Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, puan, saya ingin bertanya tentang pekerjaan penghantaran barang. Kerja tersebut hendaklah menghantar barang ke sesuatu destinasi dengan menaiki kereta melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan. Apakah hukum pekerjaan tersebut berdua dengan lelaki walaupun tidak melakukan apa apa perbuatan yang mungkar hanya niat di hati untuk menghantar barang sahaja. Mohon pencerahan, terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pada asasnya hukum berdua-duaan antara lelaki dan perempuan dalam satu kenderaan adalah dilarang dan ditegah dalam Islam.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. (Riwayat Muslim)
Hukum pekerjaan tersebut tetap harus tetapi perbuatan berdua-duaan itu yang dilarang dan ditegah. Dicadangkan supaya tuan berusaha mengelakkan diri daripada berdua-duaan sahaja dengan cara mencari seorang lagi dari kalangan pekerja yang sama jantina bagi mengelakkan berlakunya fitnah.
Sebagaimana maksud hadis :
"Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya ialah syaitan." - (Riwayat al-Tirmidzi)
والله أعلم بالصواب