BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya sedikit. Untuk KWSP saya, saya telah lambat menukarkan daripada akaun konvensional kepada Akaun simpanan syariah, jadi dividen yang saya terima, saya ingin menyucikan nyer. Selain dari menderma duit lebihan divivden itu kepada badan2 kebajikan, saya juga ingin menderma secara langsung kepada individu2 yang tertentu. Jadi soalan saya, bolehkah saya menyucikan dengan menderma kepada penjual/gerai makanan jalanan, atau orang2 yang dilihat pada mata kasar saya berupa miskin, atau seperti pekerja2 pembersihan/buruh kasar, atau kepada kanak2 yang lihat seperti miskin, atau rider2 penghantaran. Saya segan pula nak bertanya status kewangan mereka, sebaliknya hanya menilai dengan mata kasar sahaja. Saya keliru kepada takrifan fakir dan miskin. Saya takut duit yang saya derma itu tidak tergolong dalam kategori yang meyucikan duit dividen saya.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan,  duit dividen daripada  akaun konvensional tidak boleh diserah atau didermakan kepada individu tertentu secara langsung bagi tujuan penyucian wang tidak patuh syariah. Kaedah untuk  membersihkan harta yang tidak patuh syariah adalah dengan menyerahkan kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri. Dana ini akan diserahkan kepada fakir miskin atau golongan yang  tidak berkemampuan (maslahah umum). Penyucian harta dengan jalan ini bukanlah bertujuan untuk memperoleh pahala daripada kebaikan tersebut, bahkan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah S.W.T.

Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

إذا كان معه مال حرام وأراد التوبة والبراءة منه؛ فإن كان له مالك معين وجب صرفه إليه أو إلى وكيله، فإن كان ميتًا وجب دفعه إلى وارثه، وإن كان لمالك لا يعرفه ويئس من معرفته فينبغي أن يصرفه في مصالح المسلمين العامة؛ كالقناطر والربط والمساجد ومصالح طريق مكة ونحو ذلك مما يشترك المسلمون فيه، وإلا فيتصدق به على فقير أو فقراء

Maksudnya: Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam. Dan jika tidak begitu, boleh untuk disedekahkan kepada seorang faqir miskin atau ramai. ” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9:351)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 126

message user image