Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulalaikum. Mohon pencerahan:
1. Apakah hukum kalau tidak membayar saman kereta? Adakah ia dikira hutang dunia?
2. Bagaimana kalau saman yang dikeluarkan dianggap sebagai menganiaya? Sebagai contoh, saya park kereta di bukan tempat letak kereta, tetapi tidak sampai mengganggu lalulintas kenderaan lain.
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berkenaan dengan perkara tersebut:
1. Sekiranya saman yang dikenakan adalah kesalahan yang boleh memberi kesan buruk kepada orang lain, maka ia adalah wajib untuk membayar saman tersebut. Dan jika, tiada ketetapan saman itu terlangsai sekiranya penama saman meninggal dunia, maka ia dikira hutang yang perlu dilangsaikan oleh waris. Ini kerana saman yang telah dikenakan termasuk dalam undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
2. Berkaitan saman dari kesalahan kecil lalulintas, adalah digalakkan untuk membayarnya sekiranya mampu untuk membayar. Tambahan pula, pihak berkuasa sentiasa memberikan diskaun bayaran saman yang perlu diambil peluang bagi melangsaikan saman tersebut. Undang-undang juga ada memperuntukkan senarai hitam sekiranya saman tertunggak dan ini akan lebih menyukarkan.
والله أعلم بالصواب