Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum..
1. Berapakah kadar peratus wang tidak patuh syariah asb tahun 2020.
2.Bolehkah Saya menggunapakai terus keuntungan asb mengikut hukum Harus yang dikeluarkan oleh Fatwa Malaysia. Saya membuat loan utk asb...
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (Bil 3/2017) telah memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus berdasarkan peratus patuh syariah bagi tahun semasa.
Manakala bagi kadar peratus patuh syariah selepas 3 November 2020 adalah sebanyak 100%. Ini berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-5/2020 yang bersidang pada 3 November 2020 telah memutuskan bahawa: "Hukum Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus setelah pihak PNB mencapai sasaran 75% patuh syariah dalam pelaburan yang dilaksanakan".Bagi tahun 2019 kadar peratus patuh syariah sebanyak 74.5% . Maka kadar peratusan yang tidak patuh syariah pada tahun 2019 sehingga 3 November 2020 sebanyak 25.5%.
Hukum menggunapakai dividen atau keuntungan tersebut adalah harus dan wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada hasil dividen atau keuntungan bagi setiap tahun yang diterima.
والله أعلم بالصواب
sekian terima kasih.