Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya berkahwin dengan suami yang dianggap duda anak 3. Dokumen Perkahwinan kami itu dilampirkan dengan surat akuan cerai si suami dengan isteri yg terdahulu.
1) Sewaktu belum berkahwin saya cuma diberitahu dia sudah lama bercerai dengan isteri pertamanya. Dan dia bersumpah tentang hal itu..
2) Tetapi saat 2 minggu lagi majlis perkahwinan kami, dia serahkan sijil akuan cerai (diperlukan untuk hantar dokumen) yang bertarikh kurang 3bulan dari tarikh pernikahan kami (rupanya mereka bercerai secara takliq). Saya nekad membatalkan majlis kami tetapi dia bersungguh2 berkata yang penceraian bersama isteri pertama itu baru diselesaikan tetapi hubungan mereka sudah lama tidak baik dan tidak tinggal bersama (bohong). Dan katanya pada tarikh perkahwinan kami nanti edah isterinya sudah habis. Setelah perbincangan dibuat saya menikahi dia.
3)Sebulan selepas menikah baru saya tahu yang mereka telah rujuk kembali sebulan sebelum pernikahan kami .Jadi saya minta penjelasan dan kebenaran. Disitu dia menyatakan dan bersumpah dengan menyebut nama penuh isterinya serta i/c isterinya yang dia tidak pernah rujuk. berkali2 dia membuat pengakuan itu.
Jadi apakah status suami saya dengan isteri pertama nya? Saya dibelenggu rasa was-was dan tidak mahu bersubahat sekiranya mereka sudah tiada ikatan. kerana mereka masih lagi hidup sebagai suami isteri. Saya pernah suarakan pada mereka supaya merujuk pada yang lebih arif tetapi mereka cuma mendiamkan diri. Suami juga enggan melepaskan saya.
ketiga2 situasi itu berlaku pada tahun yg berlainan (2014,2015 & 2016)
Kali pertama mengaku dan bersumpah sudah bercerai.
tetapi katanya rasa bersalah dan balik menggauli isterinya dengan niat jika jatuh talak maka merujuk kembali.
kedua bercerai secara takliq tapi rujuk selepas 2bulan.
ketiga mengaku bersumpah tidak pernah rujuk dengan isteri pertama sebelum perkahwinan kami dan hanya saya isterinya ketika itu.
apakah hukum nya lafas suami kepada isteri pertamanya?
terima ksih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Untuk makluman pihak puan, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, setiap perceraian yang berlaku mestilah dirujuk ke mahkamah syariah bagi pengesahan perceraian tersebut. Ini dijelaskan di bawah Seksyen 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Perkara ini dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya dakwaan, penipuan dan salah faham dalam urusan-urusan yang melibatkan hukum munakahat. Begitu juga dalam persoalan rujuk suami kepada bekas isterinya, rujuk ini juga mestilah didaftarkan ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran sekiranya dakwaan suami itu betul, perkara ini dijelaskan di bawah Seksyen 52 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Oleh yang demikian, jabatan ini mencadangkan agar puan atau suami puan perlu merujuk ke mana-mana mahkamah syariah yang berhampiran bagi memastikan dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh pihak puan dapat diselesaikan dengan tepat mendasarkan hukum syara' dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
والله أعلم بالصواب