Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,saya ingin bertanya. Rumah saya mempunyai surau dan masjid yang berdekatan. Surau dan masjid ini akan melaungkan azan tetapi azan surau akan bermula dengan lebih awal sedikit dan tidak berapa jelas banding masjid. Saya selalu mendengar azan masjid kerana laungannya lebih jelas kedengaran. Batalkah puasa saya hari ini jika saya terlewat sahur dan masih makan ketika terdengar azan dari surau berkumandang? Azan dari masjid belum berkumandang lagi jadi saya menghabiskan makanan dan minuman saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله, والصلاة والسلام على رسول الله, وعلى آله وأصحابه ومن والاه, أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, puan perlu merujuk kepada definisi ibadah puasa iaitu, menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar (subuh) sehingga terbenam matahari (maghrib). Sekiranya puan melakukan perkara yang membatalkan puasa di antara waktu tersebut dalam keadaan sedar seperti makan atau minum, maka batal puasa.
Apabila terdapat perbezaan waktu azan di antara masjid dan surau, puan perlu pastikan azan manakah yang tepat berpandukan taqwim solat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui laman web atau edaran bercetak. Jika terbukti azan surau dilaungkan sebelum masuk waktu subuh maka sah puasa, sebaliknya jika azan surau adalah tepat ketika masuk waktu subuh maka puasa batal.
Antara hikmah para ulama' menggalakkan imsak iaitu berhenti sahur 10 minit sebelum masuk waktu subuh adalah bagi mengelakkan berlaku keraguan apabila terdapat ralat pada jam atau kelewatan muazzin.
والله أعلم بالصواب