BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai najis. 1 hari semasa saya ada checkup dengan doktor, doktor telah ambil darah saya dilengan. Selepas beberapa minit, lengan tempat diambil darah, darahnya tembus sedikit ke lengan baju. Balik dari klinik saya terus tukar baju dan bersihkan diri. Cadangnya ingin basuh baju yang terkena darah itu kemudian. Walaubagaimana pun saya terlupa. Baju itu bercampur dengan baju lain yang sudah kami pakai didalam bakul. Saya tidak asingkan kerana darah sangat sedikit dan saya percaya darahnya tidak terkena baju lain. Selepas beberapa hari, suami basuh kesemua baju didalam bakul tanpa tahu baju saya yang terkena darah ada sekali. Suami pulak tidak teliti untuk cek satu-satu baju. Kami menggunakan mesin basuh semi auto. Cara basuh adalah seperti ini. Tadah air, letak baju-baju dan sabun, pusingkan mesin, kemudian buang airnya, tadah lagi dan pusingkan mesin. Kemudian bajunya suami letak dibahagian spin dan spin sambil bilas disitu. Selesai spin, baju-baju diletakkan dalam bakul. Setelah basuh semua baju dan letak dalam bakul, kami bawa ke dobi layan diri untuk dikeringkan. Keesokkannya baru saya sedar, bahawa baju saya yang ada darah dilengan, dibasuh dan dikeringkan sekali dengan baju lain. Baju yang lain tidak terkena darah tersebut. Ini kerana, baju yang ada darah tersebut telah dibiarkan selama 4 hari didalam bakul dan kemungkinan sudah kering dah tidak merebak darahnya ke baju lain. Jadi, apakah hukum bagi bakul dan baju lain yang dibasuh dan dikeringkan sekali dengan baju yang ada darah tersebut? Adakah semua sekali dikira najis dan perlu dibasuh semula? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, membasuh pakaian yang terkena najis dengan menggunakkan mesin basuh separa automatik adalah suci jika memenuhi syarat-syarat seperti berikut:-

1. Pakaian dikeluarkan daripada mesin basuh dan dibilas dengan air mutlak; atau

2. Pakaian dijirus dengan air mutlak dan pada masa yang sama laluan air keluar di mesin basuh dibuka sehingga air melalui kesemua pakaian tersebut; atau

3. Pakaian yang telah dicuci dipindahkan ke tempat pengering(spin) dan pada masa yang sama dilalukan air sehingga air mengenai kesemua pakaian dan laluan air keluar perlu dibuka agar air tidak bertakung.

Berdasarkan keterangan di atas dan penceritaan puan, pakaian yang dibasuh oleh puan telah memenuhi syarat-syarat di atas dan pakaian tersebut adalah suci. Untuk keterangan lanjut, pihak puan boleh merujuk garis panduan penggunaan mesin basuh yang telah diwujudkan oleh jabatan ini. klik pautan di bawah:

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 166

message user image