BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Sy ingin brtanya tentang isteri Nabi zainab binti jahsy. Sy ada trbaca beliau brkahwin dgn ank angkat nabi sbelum brkahwin dgn Nabi. Dr pembacaan sy, beliau tidak serasi dgn Zaid dan Zaid selalu mengadu pd Nabi. Boleh sy tahu, adakah beliau seolah2 tidak menghormati Zaid sebagai suami atau apa ya. Kalau boleh, ceritakan juga pernikahan beliau dgn Nabi. Demi Allah sy tiada niat memburukkan ummahtul mukminin dan sy tahu beliau dan keluarga dan sahabat nabi trgolong dalam golongan manusia yg mulia cuma sy ingin penjelasan. Sumber dalam internet sangat terhad. Kalau boleh, bg rujukan juga untuk sy baca lebih lanjut. Sy ada baca haritu dr page ni tentang pencerahan cemburu Aishah r.a trhadap khadijah dan info sgt2 mmbantu. Teruskan usaha baik sbb masih ramai org yang seperti sy tercari2 maklumat yg sahih. Byk soalan sy nak tanya tp nantilah. Terima kasih pd yg menjawab


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Zainab binti Jahsy berasal daripada Bani Asad ibn Khuzaimah. Beliau anak perempuan daripada ibu saudara Rasulullah SAW sendiri. Sebelum itu, beliau adalah isteri Zaid bin Harithah yang merupakan anak angkat Baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang melamar Zainab binti Jahsy untuk maula (bekas hamba) baginda iaitu Zaid bin Harithah. Perkara ini membuatkan fikiran Zainab binti Jahsy menjadi keliru. Lantas, beliau bersuara, ”Wahai Rasulullah, aku tidak meredhainya bagiku, kerana aku seorang wanita Quraisy yang belum bernikah”. Rasulullah SAW bersabda, ”Tetapi aku meredhainya bagimu”. Atas peristiwa ini, turunlah wahyu dari Allah SWT dari surah Al Ahzab, ayat ke 36 :

” وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالًا مُبِينًا“,”

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan, barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, dengan sesat yang nyata” 

Zainab tidak mempunyai alasan untuk menyanggahi perintah Allah dan RasulNya. Namun, kehidupan mereka sebagai suami isteri hanya bertahan dalam tempoh setahun, berlakulah perselisihan di antara keduanya. Hubungan yang semakin tidak harmoni mendorong kepada pertemuan antara Zaid dengan Rasulullah SAW untuk mengadu permasalahan rumahtangganya. Berkali-kali Zaid meminta persetujuan baginda untuk menceraikan Zainab, tetapi dijawab oleh baginda dengan sabdanya : اتق الله وأمسك عليك زوجك  yang bermaksud : ”Tahanlah isterimu dan bertaqwalah kepada Allah”. Pada saat yang sama, Rasulullah SAW sebenarnya merasai bahawa perceraian tersebut pasti akan terjadi dan Allah akan memerintahkan baginda untuk menikahi Zainab dalam usaha untuk menghapuskan bid’ah anak angkat. Jibril menyampaikan perkhabaran, bahawa Zainab akan menjadi isterinya. Hal ini menimbulkan keresahan di hati baginda SAW yang pasti akan berhadapan dengan celaan masyarakat jahiliyyah ketika itu lantaran baginda akan menikahi bekas isteri kepada anak angkatnya. 

Begitulah perintah dari Allah S.W.T., lalu Rasulullah SAW melaksanakan perintah tersebut tanpa sedikit pun keberatan di dalam hatinya. Tatkala tamat tempoh iddah Zainab, Rasulullah mengutuskan Zaid untuk melamarnya bagi diri baginda. Ibnu Abbas RA berkata, ” Setelah Zainab diberitahu bahawa Rasulullah SAW ingin menikahi beliau, maka dia pun bersujud” [Tahdzibul-asma’ wal-lughat, 2/345]

Seperti yang diduga, pernikahan tersebut telah mencetuskan kekecohan di kalangan orang-orang munafik dan kaum kafir, “Bagaimana mungkin Muhammad melarang menikahi bekas isteri anak, namun dia sendiri menikahi bekas isteri anaknya, Zaid?”. Perkara ini kemudian disanggah oleh Allah SWT melalui firmanNya dalam surah Al Ahzab ayat ke 38-39 yang bermaksud :

Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya. Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” 

Allah SWT juga menjelaskan kedudukan anak angkat dan hak-hak yang berkaitan dengannya, serta menolak untuk menjadikan anak angkat setaraf dengan anak kandung.

Semoga Allah SWT limpahkan kepada kita perasaan kasih sayang dan cinta kepada Rasul SAW dan keluarga Baginda SAW serta sahabatnya. Amin.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 431

message user image