BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Telah dikongsikan oleh sahabat saya manfaat zikir nama Allah disertakan Asmaul Husna.

Sebagai contoh, jika kita berniaga, ingin murah rezeki, maka zikir Ya Allah, Ya Razzaq sepanjang hari, in shaa Allah murah rezeki. Jika kita sedang menuntut ilmu, maka zikir yang disarankan ialah menyebut Ya Rasyid selalu supaya mudah menerima ilmu.

Tetapi, ada juga yang berpendapatan zikir Asmaul Husna itu bidaah, kerana tiada ajaran di dalam Al-Quran atau sunnah Rasulullah SAW. Tambahan lagi baru-baru ini ada pengasas ajaran Asmaul Husna yang mengaku ajaran beliau adalah menyeleweng dan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dengan itu, sy ingin mendapat kepastian dan ingin bertanya, apakah hukum zikir dgn menggunakan Asmaul Husna?

Terima kasih kerana membalas soalan sy, diharap jika persoalan ini disiarkan, nama dan maklumat saya tidak disiarkan sekali.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf  ayat 180 :

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَاۤءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِینَ یُلۡحِدُونَ فِیۤ أَسۡمَـٰۤىِٕهِۦۚ سَیُجۡزَوۡنَ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

Di dalam tafsir al-Sa'di menerangkan bahawa ayat di atas menjadi dalil tentang keharusan berdoa serta memohon kepada Allah berdasarkan nama-nama Allah seperti seseorang berdoa dengan lafaz ( يا رزاق ارزقني )Wahai Maha Pemberi Rezeki kurniakanlah aku rezeki dan begitulah selanjutnya.

Walaubagaimanapun tujuan utama dalam berzikir adalah untuk mengingati Allah SWT dan bukanlah ada tujuan selain daripada itu. Oleh itu, berzikir dengan nama-nama Allah dengan niat dan ikhlas untuk ingat kepada Allah dengan mengaharapkan fadhilat yang ada pada nama-nama tersebut adalah harus. Dengan memperbanyakkan zikir (ingat Allah), Insya Allah Allah akan merahmati kita seterusnya memberkati usaha-usaha kita.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 281

message user image