BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, saya ingin bertanya satu soalan dari sahabat saya yang telah memeluk islam hampir 9 tahun. 

Dia ada bertanyakan tentang hukum berkhatan dan adakah sah ibadah nya selama ini apabila dia dan keluarganya belum lagi berkhatan sejak dari awal mereka memeluk islam.

Setakat ini, dalam ahli keluarganya, hanya sahabat saya yg bersungguh2 untuk mengamalkan ajaran islam,, tetapi keluarganya yg lain masih belum benar2 mengamalkan islam kerana masih kuat berpegang dgn adat mereka.
Jazakumullah khairan kathira


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, berkhatan bermaksud membuang foreskin atau kulup, iaitu kulit bahagian hadapan yang menutupi kepala zakar bagi lelaki. Manakala bagi perempuan bahagian kulit di atas saluran kencing (klitoris). Menurut Imam al-Nawawi dalam Majmu' menyatakan khatan wajib bagi lelaki dan perempuan. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh majoriti Ulama' Salaf dan antara yang mewajibkannya adalah Imam Syafi'e dan Imam Ahmad. Kemudian telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Maka kita juga diperintahkan untuk mengikuti perbuatan yang diperintahkan terhadap Nabi Ibrahim A.S. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan pada umur beliau 80 tahun dengan menggunakan kapak kecil. (Riwayat al-Bukhari)

Mengenai Ibadah bagi lelaki atau wanita yang belum atau tidak berkhatan adalah sah. Dengan syarat wajib mencuci dengan bersih kawasan kulit kelamin yang tidak dikhatan sebelum melakukan sesuatu Ibadah.

Bagi muallaf yang belum bersedia/mampu untuk berkhatan, wajib mencuci dengan bersih pada kawasan kulit kelamin sebelum melakukan Ibadah kerana bersuci daripada najis merupakan salah satu syarat sah dalam suatu Ibadah. 

Adalah dinasihatkan supaya berkhatan jika sudah bersedia/mampu kerana berkhatan mempunyai banyak hikmahnya antaranya boleh membawa kepada kesempurnaan beragama, dapat membezakan antara orang Islam dan bukan Islam, dapat menjaga kesihatan dan mengawal syahwat, dapat memelihara diri daripada bahaya penyakit dan sebagainya. Berhubung dengan amalan adat, ia boleh diteruskan jika tidak bercanggah dengan syarak. Adalah disarankan agar amalan Islamnya dapat ditingkatkan secara beransur-ansur. Dengan itu, Insya Allah akan dapat meninggalkan amalan adat khasnya yang bercanggah dengan syarak.

Sekian, terima kasih. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 125

message user image