BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum.

Adakah menjadi satu kesalahan bagi seorang anak yang mumaiyiz jika dia memilih untuk tinggal bersama dengan bapanya, dan ini membuat ibunya berasa sedih? Jika dia sudah baligh, adakah dia akan menanggung dosa? Adakah hadis tentang berbuat baik kepada ibu 3 kali dan kepada bapa 1 kali bermakna mereka tidak boleh memilih untuk tinggal dengan bapa mereka?

Saya mempunyai 2 orang anak dari perkahwinan pertama saya. Saya menceraikan bekas isteri selepas dia bercinta dengan lelaki lain, dan kelakuan-kelakuan buruk yang lain. Semasa kami berpisah, anak-anak berumur 4 dan 6 tahun. Saya tidak yakin yang bekas isteri mampu menjaga anak-anak dengan baik. Jadi untuk memastikan kebajikan anak-anak terjaga, saya berunding dengan bekas isteri dan mendapat perintah perkongsian hadhanah dari mahkamah.

Sejak perceraian saya cuba sebaik mungkin untuk menjaga dan mendidik anak-anak. Sebaliknya bekas isteri terus berkelakuan buruk dan kurang mengendahkan anak-anak, sebaliknya sibuk bekerja dan menyertai aktiviti sampingan lain. Sekarang anak-anak telah berumur 9 dan 11 tahun, dan mereka ingin terus tinggal dengan saya. Jadi saya telah memfailkan tuntutan hadhanah penuh.

Bekas isteri memberitahu anak-anak bahawa mereka akan disoal oleh Allah kenapa mereka derhaka kepada ibu mereka dengan memilih untuk tinggal dengan saya. Dia menggunakan hadis yang tersebut di atas untuk menghalang anak-anak dari memilih untuk tinggal dengan saya.

Mohon jasa baik tuan/puan untuk memberi pencerahan tentang hal ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang anak yang mumaiyiz memilih untuk tinggal bersama dengan bapanya. Hal ini kerana, mereka sudah boleh berfikir siapakah di antara ibu dan ayah mereka yang layak untuk menjaga mereka dengan baik.  

Secara umumnya anak-anak yang sudah baligh akan menanggung dosa masing-masing. Jika khusus berkenaan dia ingin memilih untuk tinggal bersama bapanya sehingga membuatkan ibunya berasa sedih adalah tidak berdosa kerana ianya adalah hak anak untuk mereka tentukan sama ada tinggal bersama bapanya atau ibunya. Menurut Enakmen Undang-undang Kekeluargaan Islam (Negeri Selangor) 2003 Seksyen 84, antaranya; "Jika seseorang perempuan itu berkelakuan buruk serta mengabaikan kebajikan anak-anaknya". Maka hilanglah hak penjagaan terhadap anak-anaknya.  Adapula berkenaan hadith berbuat baik kepada ibu sebanyak 3 kali itu adalah anjuran mentaati perintah mereka dalam hal- hal yang baik dan tidak bermaksud jika mereka memilih untuk tinggal bersama bapanya dianggap menderhakai ibunya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 139

message user image