Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Ustaz maaf menggangu saya ada pertanyaan yang hendak ditanya harap dapat jawapan daripada pihak Ustaz..
Soalan Saya:
Hukum dropship harus kan ustaz dari apa yang saya tahu, cuma persoalan nya saya sebagai agent dropship produk stokin/handsock , saya nak tahu hukum dalam Islam atau bahasa mudahnya boleh ke saya sebagai dropship ada dropship lagi di bawah saya..
Maksudnya :
HQ- Agent Z -Dropship A( Saya) - Dropship B (Dropship under saya)
Boleh ke Ustaz Dropship B berada di bawah saya sebab saya ada terbaca macam tak boleh sebab saya pun hanya agent dropship sahaja atau ada syarat-syaratnya Ustaz. Sebab dropship B di bawah saya automatik bila mereka ada jualan saya akan dapat juga komisyen daripada Dropship B. Jadi macam mana hukum komisyen/ duit yang saya dapat tu juga.
Harap dapat penjelasan dari Ustaz sebab saya memang ada dropship bawah saya, saya perlu minta izin atau bagitahu HQ dulu ke atau macam mana untuk kes macam ni mengikut hukum Islam..
Terima Kasih Ustaz
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Hukum dropship atau menjadi ejen jualan untuk produk-produk tertentu dengan menggunakan aqad salam atau tempah adalah harus jika syarat-syarat yang disebutkan di bawah ini dapat dipenuhi:
1. Barang yang ditempah itu adalah barangan yang halal serta patuh syarak.
2. Memastikan spesifikasi produk yang ditempah dapat disifatkan dengan tepat kepada pelanggan berdasarkan hadis Rasulullah:
من أسلف فليسلف في كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم
"Sesiapa yang memesan barang maka hendaklah memesan dengan ukuran yang jelas, timbangan yang jelas, dan waktu yang jelas " (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dropshipper akan mewakili agen dengan mempromosi dan bertindak sebagai wakil dalam jual beli sesuatu barangan. Dropshipper akan mendapat upah sebagaimana yang dipersetujui antara dropshipper dan agen. Dalam hal ini upah yang diterima adala harus selagi mana jual beli tersebut tidak melibatkan barangan yang haram, syubhah, judi, penipuan (helah untuk mengaut keuntungan yang tidak dibenarkan) dan gharar (urusniaga yang tidak jelas).
Bagi isu agen dropshipper melantik agen dropship lain di bawahnya, secara asasnya ia dibenarkan melainkan terdapat larangan yang ditetapkan oleh pihak founder (HQ) atau agen di atasnya. Agen dropship tersebut akan mewakili dropshipper di atasnya dalam mempromosi dan wakil dalam jual beli tersebut. Kadar upah atau komisyen adalah sebagaimana dipersetujui antara mereka dan tidak melibatkan founder (HQ) atau agen jualan.
Namun, adalah lebih baik perkara ini dimaklumkan dan mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.