BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Saya ingin bertanya, dari konteks islam, apa yang dimaksudkan dengan dara? Untuk pengetahuan pihak tuan, saya adalah seorang wanita yang belum berkahwin & sgt aktif bersukan. Kemungkinan untuk selaput dara saya hilang adalah sangat tinggi dan saya risau ia akan menimbulkan fitnah apabila saya berkahwin kelak.

Berdasarkan bacaan saya mengenainya, selaput dara (hymen)  merupakan satu lapisan nipis yang menyelaputi saluran pembukaan vagina atau faraj. Ia merupakan lapisan sel yang mempunyai saiz dan bentuk yang berbeza bagi setiap individu wanita. Selaput dara boleh terjejas sekiranya individu wanita tersebut melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bersenam, melakukan sebarang aktiviti regangan, berbasikal ataupun memanjat sesuatu. 

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, maksud dara adalah istilah yang diguna masyarakat umum bagi anak perempuan yang belum berkahwin dan belum pernah disentuh lelaki. Keadaan ini merujuk kepada wanita yang telah hilang/ koyak selaput dara pada kemaluannya disebabkan persetubuhan. Manakala menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 tafsiran anak dara ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum. 

Justeru, bagi wanita yang belum berkahwin atau bersetubuh adalah dara sebagaimana maksud dalam enakmen tersebut. Soal aktif bersukan, melakukan aktiviti lasak sehingga menyebabkan selaput dara hilang tidaklah menjejaskan status dara, jika hilangnya bukan disebabkan oleh persetubuhan. Mengikut pandangan doktor,  kemalangan atau bersukan merupakan perkara yang amat jarang menyebabkan selaput dara boleh koyak. Ini kerana selaput dara berada di dalam faraj dan dilindungi oleh tulang ari-ari. Berhubung soal pendarahan pula, statistik menunjukkan bahawa 44% wanita tidak mengalami pendarahan ketika melakukan persetubuhan kali pertama. Sehubungan  itu, calon atau bakal suami sewajarnya tidak mempersoalkan kedaraan wanita yang ingin dikahwininya kerana masing-masing belum pernah berkahwin atau bersetubuh. Jika dipersoalkan juga ia termasuk dalam hukum qazaf yang berat, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 4 yang bermaksud;

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"   

  والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 464

message user image