BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya masih bujang umur 27 tahun, setiap kali sebelum solat, saya akan bersihkan kemaluan saya samada saya membuang air kecil ataupun tidak. Dan saya bersihkan kemaluan dengan air serta berdehem, dan mengurut sedikit kemaluan bagi memastikan tiada lagi sisa pada kemaluan. Saya berwuduk dan solat fardu. Setelah solat saya mendapati terdapat sedikit/setitik kesan seperti AIR MAZI berkilat-kilat yang sedikit pada seluar dalam saya. Walaupun ketika sedang solat saya tidak merasakan sesuatu yang keluar pada kemaluan saya. Tetapi (kadang-kadang) ketika solat terdapat lintasan di fikiran perkara-perkara yang tidak elok, adakah keluarnya air mazi kerana perkara ini tanpa sedar. Perkara ini membuatkan saya penat dan sering ingin melihat dan cek pada seluar dalam saya selepas solat sekiranya terdapat kesan sedikit seperti air mazi tersebut. Sekiranya ada, saya mengulang semula solat saya dan sebaliknya sekiranya tiada. Dan pada waktu sekarang setiap kali ingin solat saya akan bersihkan kemaluan saya dan seterusnya membalut kemaluan dengan tisu, dan barulah saya mengambil wuduk untuk solat. Saya mengamal satu wuduk bagi satu solat fardu seperti masalah kencing tidak lawas. Pernah berlaku selepas solat Jumaat saya terasa ingin melihat atau cek seluar dalam saya sekiranya ada kesan seakan air mazi dan kelihatan ada setitik kesan tersebut, dan saya telah menggantikan solat dengan solat zohor dengan membalut kemaluan dan berwuduk. 

 

Bagaimana pendapat ustaz tentang masalah saya ini? Boleh ke saya amalkan membalut kemaluan dan mengambil wuduk selepas masuk waktu solat bagi Solat Jumaat? kerana solat jumaat perlu mendengar khutbah dahulu, takut sekiranya air mazi tersebut keluar ketika sedang mendengar khutbah tanpa sedar.

 

Selain itu, bagaimanakah sekiranya saya bermusafir untuk solat jamak qasar sekiranya masalah ini masih berlaku?

 

Seterusnya saya ada membaca hadis mengenai cara menyucikan air mazi ini dengan merenjiskan atau mengalirkan air secedok tapak tangan pada pakaian yang terkena air mazi tersebut.

 

Semoga Allah permudahkan urusan kita untuk solat. Aminn. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه , أما بعد

Merujuk kepada soalan tuan, jika keluar mazi berpunca daripada lintasan fikiran kepada perkara yang tidak elok semasa solat, maka solat batal dan wajib diulang semula. Tuan perlu mengelak perkara tersebut berlaku dengan bersedia untuk mendirikan solat sepenuh hati dan faham segala tindakan zahir, lintasan hati dan pemikiran di minda semuanya diperhalusi dan dinilai oleh Allah SWT. Untuk solat yang berkualiti, segala perbuatan dan pemikiran perlu dikawal dan dipimpin setiap masa dan bukan hanya bermula ketika takbiratul ihram.

Jika air mazi keluar tanpa sebab dan tidak boleh dikawal semasa solat, maka situasi ini sama seperti seseorang yang mengalami masaalah kencing tidak lawas dan boleh menggunakan kaedah bersuci seperti berikut ;

  1. Pastikan telah masuk waktu solat.
  2. Bersihkan kemaluan.
  3. Berwuduk seperti biasa.
  4. Tutup lubang kemaluan dengan tisu , kapas atau cebisan kain.

Kaedah ini hanya membolehkan seseorang melaksanakan satu solat fardhu dan seberapa banyak amalan sunat selagi tidak batal wuduk. Apabila ingin melaksanakan solat fardhu seterusnya, maka wajib diulang semula kaedah bersuci di atas. Jika keluar mazi atau air kencing sebelum mendirikan solat seperti ketika mendengar khutbah, maka perkara tersebut dimaafkan.

Bagi solat jamak taqdim, disyaratkan mualat iaitu tidak diselangi antara dua solat dengan perkara lain. Walau bagaimanapun, jika ia diselangi dengan perkara yang ada kepentingan kepada solat seperti  berwuduk atau iqamah maka ia diharuskan. Adapun bagi solat jamak takhir, tidak disyaratkan mualat antara dua solat dan tidak menjadi masaalah untuk bersuci di antara keduanya.

Air mazi adalah najis dan mesti dibasuh dengan mengalirkan air mutlak di atas pakaian sehingga hilang kesannya. Kaedah renjis tidak memenuhi syarat menyucikan najis.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 479

message user image