Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya ingin bertanya apakah hukum menunaikan Solat Tahyatul Masjid pada hari Jumaat ketika masuk masjid sebelum azan zohor .. kerana saya musykil haram melaksanakan solat pada waktu tersebut ..
Terima kasih ..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه , أما بعد
Merujuk kepada soalan tuan, seseorang yang masuk ke dalam masjid disunatkan mendirikan solat tahiyyatul masjid sebanyak dua rakaat sebelum duduk sebagai menghormati masjid. Perkara ini merujuk kepada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
إذا دخل أحدُكم المسجدَ فلا يجلسْ حتى يُصلِّيَ ركعتينِ
Maksudnya : "Jika seseorang masuk ke dalam masjid, maka janganlah duduk selagi tidak mendirikan solat dua rakaat".
Solat sunat tahiyyatul masjid disunatkan apabila seseorang memasuki masjid pada bila-bila masa sekalipun pada waktu yang diharamkan solat atau ketika khatib sedang menyampaikan khutbah dengan cara meringkaskan solatnya.
والله أعلم بالصواب