Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum Tuan Mufti dan Pihak Pejabat Mufti. Sy minta izin penjelasan dan pencerahan tentang tulisan dibawah ini berkaitan "kata-kata itu satu doa". Dan adakah ia fahaman melayu?
Start sini :-
Dulu aku percaya kata² adalah doa. Makanya aku amat berjaga² dalam berkata². Aku tak berani berkata yang buruk. Sebolehnya aku akan sebut yang positif sahaja.
Kemudian berlaku satu fenomena yang menafikan bahawa kata² adalah doa. Itu dikatakan ajaran dari new age movement.
Berlaku perdebatan di sana sini. Aku pun jadi keliru.
Aku mohon Allah beri aku petunjuk. Aku ikuti kelas² ustadhah Dr. Sholihah Kaswari . Lama aku ikuti. Aku cuba mendapat kan akan kebenaran yang percaya kata² adalah doa itu salah malah mensyirikkan Allah.
Nak menumbangkan pohon kesyirikan dalam diri bukannya mudah. Perlunya ilmu yang sahih.
Alhamdulillah, ada satu kelas ngaji #Amthal ustazah sebut jelas tentang perkara ini. Masa ni lah aku faham benar mengapa mempercayai Bahawa kata² itu adalah doa merupakan kesyirikan.
Rasa lega sangat. Beban yang ditanggung luruh seketik itu juga.
Mempercayai bahawa kata² adalah doa itu kesyirikan kerana kita percaya dengan kata² kita itulah yang dapat memberi kita manfaat dan dengan kata² kita itu jugalah dapat menghindarkan diri kita dari mudharat.
Tidak ada sesuatu makhluk pun yang berupaya memberi manfaat malah menghindar mudharat selain Allah.
Maka bila kita percaya kata² adalah doa, kita sedang mensandingkan ke power an kata² kita dengan kuasa Allah.
"HABIS"
Jazakumullahu Khairan Kathira.
Assalamu'alaikum
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه, أما بعد
Merujuk kepada soalan tuan, doa merupakan permintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan sangat disukai olehNya. Secara ringkasnya, setiap kata-kata yang keluar dari mulut seseorang bukan semuanya doa. Kata-kata seseorang akan dikategorikan sebagai doa jika memenuhi definisi di atas.
Berkata-kata dengan perkara yang positif adalah amat dituntut di dalam Islam dan mempunyai ganjaran tersendiri. Ia mampu memberikan semangat kepada diri dan juga orang lain dalam menempuh hari mendatang. Adapun bercakap perkara buruk, ia adalah dilarang dan kita sememangnya perlu berhati-hati dalam berkata-kata supaya tidak mengguris hati orang lain disamping boleh mengotorkan hati sendiri. Walaupun kedua-duanya bukanlah doa, akan tetapi ia akan mencerminkan adab dan peribadi seorang muslim.
Percaya kata-kata itu adalah doa bukan bermaksud mensyirikkan Allah SWT kerana doa berkemungkinan diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Akan tetapi, percaya doa atau kata-kata boleh memberi kesan melebihi ketentuan Allah SWT barulah menyebabkan syirik.
Seseorang muslim wajib beriman bahawa yang mampu memberi kesan samaada baik atau buruk hanyalah Allah SWT. Kita dituntut berdoa kerana itu merupakan ikhtiar dalam mendapat perkenan Allah SWT berkaitan apa yang dihajati. Kita dituntut bercakap perkara yang baik dan meninggalkan berkata-kata perkara buruk kerana itu mencerminkan ketinggian peribadi seorang muslim yang diajar oleh Nabi SAW.
والله اعلم بالصواب