Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Semasa ibu mertua saya masih hidup beliau ada memaklumkan mahu meamanahkan wang simpanan Tabung Hajinya kepada badan kebajikan anak yatim.
Walaubagaimanapun hajatnya tidak kesampaian sehinggalah beliau meninggal dunia pada 09.01.2021 yang lepas.
Adakah hajat arwah wajib ditunaikan atau hajatnya terbatal disebabkan kematianya dan simpanan tersebut perlu diagihkan secara faraid kepada ahli keluarga yang layak ?
Jawapan
وعليکم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Terima kasih atas soalan yang diajukan,
Seseorang yang meninggal dunia terputus tanggungan terhadap hartanya dan akan diserahkan kepada waris. Harta simati akan dibahagikan kepada pewaris yang layak melainkan hutang dan harta yang telah diwasiatkan semasa hidupnya.
Sekiranya berlaku sebelum kematian, hajat itu telah diamanakan kepada seseorang maka amanah itu hendaklah dilaksanakan seperti yang dikehendaki semasa hidup simati dan menjadi hibah pada waktu itu,
Merujuk kepada persoalan, hajat ibu mertua adalah sekadar cadangan atau rancangan tetapi beliau tidak melaksanakan rancangannya walaupun dia mampu untuk melakukannya ketika hidupnya. Justeru harta tersebut kekal sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan kepada semua ahli waris mengikut bahagian pusaka masing-masing. Walau bagaimanapun, setelah waris menerima harta pusaka masing-masing ahli waris boleh menggunakan wang tersebut untuk diberikan kepada rumah anak yatim dan berniat agar pahala sedekahnya itu sampai kepada ibu mertua.
sekian
والله أعلم بالصواب