Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada persolaan. adakah amal ibadat saya tidak akan diterima selama-lamanya disebabkan memakan makanan yang dicuri dan makanan tersebut adalah haram disebabkan saya mencurinya dan makanan tersebut telah menjadi darah daging saya. saya telah menyesali perbuatan saya tersebut dan bertaubat, walaubagaimanapun taubat saya tidak memenuhi satu daripada empat syarat taubat kerana melibatkan hak manusia. Sekiranya saya tidak memenuhi empat syarat taubat tersebut adakah amal ibadat saya MASIH TIDAK akan diterima/ditolak juga walaupun saya menyesali perbuatan saya? mohon pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, memakan makanan yang haram adalah perbuatan yang dilarang oleh agama serta memberi kesan kepada keseluruhan amal ibadah kita yang menyebabkan menjadi penghalang diterimanya amalan. Ini berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah ta’ala itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firman-Nya: Wahai Para Rasul makanlah yang baik-baik dan beramal dengan amalan soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman makanlah yang baik-baik dari apa yang Kami rezekikan kepada kalian. Kemudian beliau menyebutkan ada seseorang melakukan perjalan jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan dikabulkan. (Riwayat Muslim).
Jika makanan yang haram itu melibatkan dengan hak manusia, perlulah segera mencari tuan punya hak untuk diselesaikan segala urusan yang melibatkan haknya. Jika telah selesai, mohonlah keampunan dari Allah SWT dengan keyakinan bahawa Allah menerima taubat kita serta berazam tidak akan melakukannya kembali. Ini berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Nabi SAW bersabda: "Allah SWT berfirman; 'Bagi hamba-Ku adalah sebagaimana perasangkanya kepada-Ku, dan Aku akan bersamanya selama ia berdoa kepada-Ku. Jika ia mengingat-Ku dalam dirinya maka Aku akan mengingatnya dalam diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam sekumpulan orang maka Aku akan mengingatnya dalam sekumpulan yang lebih baik dan lebih bagus darinya. Jika ia mendekat kepada-Ku satu jengkal maka Aku akan mendekat kepada-Nya satu hasta, jika ia mendekat kepada-Ku satu hasta maka Aku akan mendekat kepadanya satu depa, dan jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan maka Aku akan mendatanginya dengan berlari." (Riwayat Muslim).
Semoga Allah menerima amalan dan taubat kita semua.
والله أعلم بالصواب