Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Ustaz/ustazah. Saya nak tanya. Suami isteri kalau dah ambik wudhuk batal ke kalau bersentuhan?
Jawapan
Apabila lelaki menyentuh kulit wanita atau wanita menyentuh kulit lelaki tanpa lapik antara kedua-duanya, maka batal wuduk yang menyentuh dan yang disentuh. Ini berdasarkan firman Allah SWT; Maksudnya : “Atau kamu bersentuh dengan perempuan” (An-Nisaa’ : 43) Sama ada sentuhan itu dengan syahwat atau tidak, disertai dengan kelazatan atau tidak, dan sama ada disengaja atau terlupa atau kesepakatan. Yang dimaksudkan dengan wanita ialah perempuan yang bukan mahram, wanita yang boleh dinikahi, dan yang telah baligh. Dan yang disentuh itu adalah kulitnya. Jika yang disentuh itu adalah rambut atau gigi atau kukunya tidaklah batal wuduk kerana dengan demikian tidak dimaksud untuk syahwat dan tidak merasa lazat dengan menyentuhnya. والله أعلم بالصواب Rujukan: - Al-Mu’tamad, Fiqah Imam Syafi’i, Jilid.1, Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhaili. - Mughni al-Muhtaj 1/34, al-Muhazzab 1/98, al-Majmu’ 2/27 dan selepasnya. Sekian, terima kasih.