Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika setelah selesai mandi wajib dan yakin air sudah rata keseluruh anggota tapi apabila dikorek bahagian pusat ada berbau. Adakah sah mandi wajib kita ustaz?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, antara salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada di badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air sampai ke seluruh badan kecuali bendasing atau kotoran yang sukar untuk ditanggalkan, dihilangkan dan ia meresap ke dalam kulit, maka ia dimaafkan.
Jika puan yakin semasa mandi wajib itu, air sampai dan lalu pada bahagian pusat tersebut, maka sah mandi wajib. Tetapi, jika didapati ada bendasing atau kotoran pada bahagian pusat yang berbau itu, maka hilangkan dan bersihkan bendasing atau kotoran tersebut kemudian lalukan air ke bahagian pusat tersebut, maka mandi wajib puan sempurna dan sah.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.