Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalam,Saya ad persoalan yang selalu menggangu saya dalam kepala.Saya seorang yang gemar menonton film atau anime(kartun jepun).Dulu saya menonton film dan anime ini di website yg tidak rasmi(illegal).setelah saya tahu bahawa menonton di website tidak rasmi itu berdosa kerana ia diaggap seperti mencuri,saya telah berpindah dan menonton dengan cara rasmi(legal).Saya teringat bahawa cara untuk taubat dari dosa mencuri adalah dengan mengmbalikan barang yang telah dicuri,jadi bagaimana pula dengan hukum menonton dengan cara tidak rasmi.apakah saya perlu membayar semula film dan anime yg saya sudah tonton di website tidak rasmi.Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, kepesatan teknologi hari ini membolehkan kita menikmati segala bentuk hiburan daripada muzik, filem, buku, majalah dan siaran televisyen secara digital dalam talian, namun tidakkah kita sedar pencerobohan itu akan meragut hasil karyawan yang bergantung hidup kepada jualan dan royalti produk dihasilkan. Malah sama ada sedar atau tidak, realitinya cetak rompak digital dinikmati secara haram ini salah di sisi undang-undang kerana membabitkan perlanggaran isu hak cipta dan harta intelek pemilik karya. Lebih memburukkan keadaan, ia memberi keuntungan kepada penyedia ‘laman web cetak rompak’ dengan menjana pendapatan hasil pungutan iklan berdasarkan jumlah pengunjung yang melayari halaman mereka.
Sekiranya tuan telah menonton filem atau anime di laman web cetak rompak, maka hendaklah bertaubat dengan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’: Ayat 110 :
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya : “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Disamping itu, perbanyakkanlah istighfar dan serahkan sahaja urusan kesilapan yang telah berlalu kepada Allah S.W.T. Yakinlah dengan pengampunan dan rahmat Allah S.W.T. Ini kerana, jika memilih untuk membayar kepada laman web cetak rompak, berkemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar lagi, selain tidak mencapai tujuannya.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih