BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanya adakah jatuh talak jika suami saya membalas sms mengatakan said whatever you want, im done!! Saya mengatakan yang suami tidak bertanggungjawab dengan menyakitkan hati saya dan lari dari rumah ketika saya tengah berpantang dari keguguran. Minta dijelaskan dengan secepat mungkin. Terima kasih
 


 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada panduan hukum yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor yang bersidang pada 8 - 10 Ogos 2003, maka mesyuarat memutuskan:

i. Hukum penceraian melalui SMS adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

          a. Bahawa pengirim SMS itu adalah suami

          b. Bahawa penerima SMS adalah isteri

         c. SMS itu telah pun dibaca oleh penerima

         d. Suami berniat untuk menceraikan isteri

ii. Penceraian melalui SMS yang tidak memenuhi syarat-syarat dalam perkara di atas adalah tidak sah dan ianya ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

iii. Penceraian melalui SMS adalah sama kaedahnya dengan penceraian melalui kata-kata yang tidak jelas (sindiran) termasuk penulisan seperti surat, faksmili, telefon dan e-mail. Kesemuanya termasuk dalam talak kinayah.

iv. Penceraian melalui SMS adalah perbuatan yang tidak sopan dan tidak beradab. Ianya seolah-olah merendahkan martabat wanita itu sendiri.

Merujuk kepada persoalan puan, sms yang ditulis oleh suami puan hanya boleh dikategorikan sebagai talak secara kinayah sekiranya lafaz tersebut ada kaitan dengan perceraian ketika sms itu ditulis. 

Walaubagaimanapun, memandangkan persoalan seperti ini memerlukan siasatan dan keterangan kedua-dua pihak maka adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan perkara tersebut dalam kadar yang segera kerana urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 134

message user image