Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya tidaklah mengidap penyakit kronik yang boleh membawa maut tapi saya sejak 8 tahun lepas sentiasa lemah dan letih. Pernafasan juga semput. Saya cuba mendapatkan rawatan hospital tetapi keadaan tidak berubah. Sekarang ini saya hanya mengambil makanan kesihatan sebagai alternatif perubatan. Saya mengambil keputusan untuk tidak berpuasa kerana saya akan semakin lemah dan letih. Saya juga tidak lagi menunaikan solat kerana lemah tubuh badan dan terlalu letih di samping tubuh badan saya hilang kelenturan dalam melakukan pergerakan sembahyang dan wudhu. Apa hukum keadaan saya ini kerana saya telah tidak berpuasa dan solat dalam masa 8 tahun?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, ibadah solat dan puasa itu adalah rukun Islam. Sebagai seorang yang mukallaf, selagi mana masih bernyawa saudara dipertanggungjawabkan untuk menunaikan ibadah. Islam juga telah mengariskan beberapa panduan kepada umatnya yang sakit, tidak berupaya serta lemah, boleh juga menunaikan ibadah berdasarkan kepada keadaan pesakit tersebut. Pesakit juga hendaklah dapatkan pengesahan daripada doktor pakar berkenaan penyakit yang dialami. Memandangkan situasi yang dialami oleh saudara bukanlah satu penyakit kronik yang boleh memudharatkan sehingga membawa maut, maka patuhlah suruhan dan perintah Allah SWT. Jika pihak hospital tidak dapat mengenalpasti penyakit, cubalah alternatif rawatan lain yang diiktiraf seperti rawatan Islam atau fisioterapi untuk tubuh badan. Jika benar sakit, Islam itu agama yang sesuai bagi semua keadaan. Firman Allah SWT : وما جعل عليكم فى الدين من حرج Maksudnya : “dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama” (al-Hajj : 78) Jika tidak mampu solat berdiri, hendaklah duduk. Jika tidak mampu duduk, hendaklah mengiring atau berbaring. Jika tidak mampu menggerakkan anggota tubuh boleh menggunakan isyarat mata. Jika tidak berupaya untuk berwuduk, mintalah bantuan ahli keluarga atau orang lain untuk melakukannya. Dalil hadith yang diriwayatkan daripada `Imran bin Husain, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: مَنْ صَلَّى قَاعِدًا، فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ “Sesiapa yang menunaikan solat di dalam keadaan duduk, maka baginya separuh pahala orang yang menunaikannya di dalam keadaan berdiri”. (Riwayat al-Bukhari) Sebenarnya apa yang saudara hadapi ini juga berkaitan dengan masalah psikologi diri sendiri. Bagaimana kita boleh makan minum, bergerak, mandi, menggunakan gajet, dan aktiviti harian lain, begitu jugalah sepatutnya kita sebenarnya boleh solat. Sebanyak-banyak nikmat dan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada saudara selama hidup, mengapa pula saudara ingin mengingkari perintah Allah SWT untuk tidak puasa dan tidak solat. Kesimpulannya, saudara hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan bersyukur kerana masih ada peluang untuk menggantikan semula apa yang telah saudara abaikan selama 8 tahun ini. Berdoalah dan dekatkan diri kepada Allah SWT serta kembali ke landasan syariat Islam. Masih belum terlambat dan mudah-mudahan urusan saudara dipermudahkan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.