BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, dengan rendah diri saya ada satu persoalan ingin ditanyakan, saya berikan satu bentuk contoh berkaitan soalan saya, begini, jika seseorang pelajar universiti pernah melakukan kesilapan iaitu pernah meniru dalam bentuk berbincang bersama rakan dan meniru sesama sendiri serta merujuk nota, google dan sebagainya terutama zaman kini iaitu pembelajaran secara online yang memudahkan maklumat dapat diakses dengan pantas. Namun, pelajar tersebut tidaklah kesemua subjek sepanjang pengajian yang dipelajari di universiti beliau meniru. Dan pada semester terakhir pelajar tersebut berubah dan tidak lagi mengulangi kesilapan meniru serta bersikap jujur dalam semester terakhir sebelum tamat pengajian. Maka, persoalan saya ada dua disini, 1. apakah status sijil universiti pencapaian pelajar yang diterima tersebut, adakah boleh digunakan untuk memohon pekerjaan? 2. Jika pelajar tersebut mendapat keputusan yang cemerlang keseluruhan dan mendapat peluang mengubah pinjaman pendidikan beliau kepada biasiswa, apakah status biasiswa tersebut, adakah halal atau haram untuk diterima dan digunakan jika ada baki ? wallahua'alam. terima kasih pihak mufti selangor menjawab persoalan saya. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan perbuatan meniru dalam peperiksaan hukumnya adalah haram dan berdosa kerana melakukan penipuan. Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W: 

 مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا 

Maksud: Barangsiapa membawa pedang untuk menyerang kami, maka dia bukan dari golongan kami. Dan barangsiapa menipu kami, maka dia bukan golongan kami. 

(Riwayat Muslim). 

Dalam erti kata yang lain, perbuatan menipu adalah ciri-ciri golongan munafik. Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W:

 آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksud: Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat.

(Riwayat Bukhari).

Sehubungan itu, berdasarkan kepada hadith-hadith yang dinyatakan adalah menjadi kewajipan kepada  kita sebagai orang Islam melakukan sesuatu perkara itu dengan jujur dan amanah, kerana daripada itulah akan timbulnya keberkatan dalam kehidupan. Berkenaan dengan status sijil yang diterima, ianya boleh digunakan dalam mencari pekerjaan dan  biasiswa yang diterima boleh digunakan untuk menampung kos sepanjang sesi pembelajaran. Sekiranya ada baki daripada biasiswa tersebut, sebagai tanda warak adalah lebih baik ianya tidak digunakan untuk kepentingan diri sendiri, ianya boleh diberikan kepada pihak-pihak tertentu seperti Baitul Mal, Majlis Agama Islam Negeri dan lain-lain. 

Jadikanlah pekerjaan yang diperolehi sebagai jalan ibadah menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam masa yang sama memberi manfaat kepada agama dan negara. Sesungguhnya sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT.

والله اعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 358

message user image