Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum..
Saya mohon bantuan dan pencerahan mengenai perkara dibawah:
Saya pernah memfilekan tuntutan Fasakh pada tahun 2018 terhadap suami kerana tidak tahan dengan sikap panas barannya yang suka marah - marah, memaki hamun dan memukul saya dan anak - anak. Tetapi saya telah menarik balik tuntutan tersebut dengan meletakkan syarat sendiri kepada suami "Jika suami ingin saya menarik balik tuntutan Fasakh tersebut dia tidak akan memukul saya lagi dan jika dia memukul saya juga, jatuh talak" Dia bersetuju dengan hanya berkata "Ya" melalui perbualan telephone. Saya pun menarik balik permohonan tuntutan Fasakh.
Setelah beberapa ketika kami berbaik. Perangai panas barannya kembali lagi dan dia melepaskan kemarahan dengan memukul saya lagi. Selepas kejadian dia memohon maaf dan berkata "Dia tidak sedar" dan memaklumkan yang terdahulu semasa berkata "Ya" untuk bersama saya semula itu adalah tidak ada apa - apa dan bukan atas kerelaan dirinya.
Persoalannya, saya risau dengan status hubungan suami/isteri kami sekarang. Kami telah berkahwin selama 7 tahun. Adakah talak itu jatuh atau pun tidak dari hukum Islam dan apa yang perlu saya buat seterusnya. Mohon bantuan, penjelasan dan nasihat daripada pihak tuan/puan.
Terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, hubungan puan dan suami masih lagi suami isteri. Berdasarkan kepada perbualan melalui telefon antara puan dan suami dahulu juga tidak soreh kerana tiada lafaz cerai oleh suami dalam taklik tersebut dan talak tidak jatuh.
Tindakan seterusnya, sebaiknya puan berfikir dan buatlah keputusan yang bijak demi masa depan puan dan juga anak-anak, sama ada ingin meneruskan perkahwinan bersama suami yang panas baran dan suka memukul atau ingin hidup dengan tenang dan aman. Kasihan anak-anak membesar dalam keadaan sedemikian. Justeru, tiada halangan jika puan ingin memfailkan semula tuntutan fasakh yang baharu kerana telah memberi peluang kepada suami untuk berubah atau membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik di Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal berdasarkan kepada taklik yang dilafazkan oleh suami selepas akad nikah iaitu :
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”
Oleh kerana suami ada melakukan mudarat kepada tubuh badan puan sama ada fizikal dan emosi disakiti dengan sikap panas barannya yang suka marah-marah, memaki hamun dan memukul puan dan anak-anak, maka aduan ini boleh dipanjangkan terus ke Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.
والله أعلم بالصواب