Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Warahmatullah,
Saya ingin memohon penjelasan mengenai kenyataan yg dibuat secara umum yang menyatakan bahawa mana-mana umat Islam yang melakukan Solat Tarawih 8 rakaat tidak akan mendapat pahala Tarawih. Sebaliknya hanya akan mendapat pahala solat sunat atau qiam sahaja. Perkara ini telah secara tidak langsung menimbulkan kegusaran. Mohon pendirian dan penjelasan pihak Sahibul Samahah Mufti jua.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Menurut Mazhab Syafie yang menjadi pegangan di Negeri Selangor solat sunat Tarawih dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan ini juga merupakan pandangan Jumhur Ulamak iaitu Mazhab Hanafi, dan juga Mazhab Hanbali manakala bagi Mazhab Maliki solat sunat Tarawih adalah sebanyak 36 rakaat. Solat yang diniatkan dengan niat tarawih tetapi tidak mencapai jumlah yang dikehendaki sebagaimana pandangan dalam Mazhab Syafie tidaklah menjadi sia-sia dan ianya sah selagimana segala rukun dan syarat dipatuhi. Pelakunya juga akan mendapat pahala sebahagian daripada tarawih.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.